Artikel

Berwaspada hadapi musim tengkujuh

- Diterbit 17 November 2023 1:50 AM MYT

MONSUN Timur Laut (MTL) atau biasa disebut musim tengkujuh, kini sudah bermula. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), secara rasmi ia bermula pada Sabtu 11 November lalu dan dijangka berterusan sehingga Mac tahun hadapan.

Sering kali dikaitkan dengan musim tengkujuh ialah banjir yang melanda seluruh negara, terutama di kawasan rendah serta sistem pengaliran air kurang berkesan. Jika dahulu banjir sering melanda negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu, sekarang tidak lagi.

Sebaliknya negeri-negeri lain seperti Johor, Kedah, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur juga turut dilanda. Pendek kata, banjir kini sudah tidak bertumpu hanya kepada kawasan yang dianggap lumrah seperti dahulu, sebaliknya melanda banyak tempat di seluruh negara.

Sebenarnya banjir sudah melanda beberapa kawasan di Kedah dan Perak serta WP Kuala Lumpur sebelum 11 November ekoran hujan lebat dan kenaikan paras air laut. Rentetan itu ratusan penduduk dipindahkan ke beberapa pusat sementara.

Di Kuala Lumpur, Adi percaya ramai sedar keadaan cuaca sukar diramal. Panas pagi tidak bererti sampai ke petang. Hujan pada tengah hari, dan selalunya pada sebelah petang, menjadi ciri harian di ibu negara.

Akibat hujan lebat yang berterusan, beberapa kawasan di ibu negara dilanda banjir. Ada yang menyebutnya sebagai banjir kilat. Namun bagi Adi, banjir adalah banjir, kilat atau tidak. Yang pasti kawasan tertentu ditenggelami air, kenderaan terperangkap dan pergerakan orang ramai tersekat.

Kuala Lumpur juga tidak terlepas. Setiap kali hujan lebat berterusan, pasti akan ada kawasan ditenggelami air. Fenomena ini sudah bermula sejak awal Oktober lalu. Kawasan Cheras, Chan Sow Lin, Jalan Raja Chulan, Jalan Kinabalu, Jalan Loke Yew dan Jalan Travers antara yang terjejas.

Ini terjadi kerana proses penyerapan dan pengaliran air bertakung mengambil masa. Keadaan diburukkan dengan sistem saliran yang terhalang akibat tangan manusia. Ramai suka membuang sampah sarap sesuka hati ke dalam sungai dan longkang menyebabkan aliran air tersekat.

Tentu sahaja dalam keadaan begini tidak membantu mengalirkan air sedangkan curahan hujan lebat mengumpul air lebih cepat berbanding pengaliran. Kerana itu banjir tidak dapat dielak.

Satu lagi punca, pada pandangan Adi, ialah kerana jumlah kolam takungan yang terhad di Kuala Lumpur sehingga tidak dapat menampung isi padu air yang banyak pada satu-satu masa. Air bergenang ini akan bertahan untuk beberapa ketika menyebabkan banjir.

Mungkin ada yang berfikir kenapa masih berlaku banjir di Kuala Lumpur memandangkan ada terowong SMART mengalihkan air banjir ke kolam takungan. Namun perlu diingat takungan ini hanya meliputi kawasan tertentu. Air di luar kawasan liputan ini masih menyebabkan banjir.

Kerana itu sebagai usaha meminimumkan ancaman banjir ini di ibu kota khususnya, sistem pengaliran air hujan perlu ditambah baik. Longkang dan sungai diperdalam, kolam tadahan diperbanyak.
Dalam hubungan ini Adi harap orang ramai turut membantu dengan tidak membuang sampah atau bahan buangan sesuka hati agar laluan air tidak tersumbat.

Adi kesal dengan tahap sivik yang rendah di kalangan segelintir orang ramai yang tidak pedulikan kebersihan alam sekitar. Mereka tidak ambil pusing bahawa perbuatan membuang sampah pada laluan air mencemarkan longkang dan sungai hingga tersumbat.

Malah kerap kali terdapat syarikat pembinaan yang tidak bertanggungjawab mencampakkan bahan buangan pembinaan merata-rata. Pihak penguat kuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mesti mengambil tindakan keras terhadap mereka.

Adi sedar kerajaan dan DBKL tidak berdiam diri menghadapi isu banjir di ibu kota. Antaranya bersiap sedia di kawasan terdedah banjir dengan kelengkapan menyedut air bertakung dan mengalihkannya ke kawasan laluan air. Selain itu tebing juga diwujudkan dalam usaha mengurangkan ‘serangan’ air.

Usaha ini disifatkan sebagai langkah sementara. Kerana itu DBKL mempunyai pelan jangka panjang menyediakan lebih banyak kolam takungan air berkapasiti tinggi. Termasuk dalam perancangan ini ialah pembinaan takungan air bawah tanah.

Takungan air bawah tanah lebih ekonomik kerana tidak memerlukan kawasan tanah yang luas untuk membina kolam takungan. Sebaliknya takungan ini dibina di bawah tanah sementara di atasnya dijadikan laluan biasa.

Memang agak rumit pembinaan tetapi hasilnya berkesan. Diharap projek ini menjadi kenyataan dalam tempoh tidak terlalu lama. Mungkin apa yang bakal dilaksanakan di ibu negara ini boleh dilaksana di negeri lain yang memerlukan.

Sekadar pesanan Adi, ketika musim tengkujuh ini berhati-hatilah dalam setiap pergerakan. Ingat, air ketika kecil ialah kawan. Jika sudah besar ialah adalah lawan. Sifatnya sama juga seperti api. Kerana itu waspada menghadapi air banjir.

Bagi warga kota di mana kawasan kediaman berhampiran pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Aliran Transit Massa (MRT) atau monorel, elok gunakan khidmat pengangkutan berkenaan. LRT, MRT dan monorel kurang terdedah kepada risiko banjir.

Sentiasalah bersiap sedia dan mematuhi arahan pihak berkuasa. Jika diarah berpindah, lakukanlah tanpa bertangguh atau banyak soal jawab. Keselamatan diri lebih utama. Juga simpan semua dokumen penting di tempat selamat.

Adi harap kita sama-sama berdoa semoga musim tengkujuh kali ini tidak mendatangkan risiko besar kepada kita semua, baik di WP atau tempat lain.

Adi—Teringat main rakit batang pisang.

WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas