Artikel

Menyantuni warga tua, golongan OKU

MEMBERI kuota untuk golongan OKU menyewa rumah kos rendah di Kuala Lumpur antara cadangan yang digariskan dalam PSKL 2040.
- Diterbit 24 November 2023 1:55 AM MYT

KUALA Lumpur bakal menjadi bandar raya golongan tua atau ‘Ageing City’ menjelang tahun 2040 berikutan pertambahan penduduk warga tua. Menurut rumusan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040), pada 2040 jumlah warga tua diunjur meningkat kepada 17.3 peratus berbanding 9.2 peratus pada 2025.

Untuk rekod, PSKL2040 menggantikan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 (PSKL2020) selaku dokumen perancangan masa hadapan Kuala Lumpur dalam memacu pembangunan strategik ibu negara sehingga 2040.

Adi harap semua pihak faham status bandar raya warga tua ini bukan bermakna Kuala Lumpur bakal dipenuhi warga tua keseluruhannya menjelang 2040. Cuma peratusnya sahaja yang meningkat. Nisbahnya masih kecil berbanding keseluruhan penduduk Kuala Lumpur yang kini dianggar 8.7 juta orang.

Walaupun begitu, PSKL2040 memberi perhatian utama terhadap golongan ini. Untuk itu beberapa perkara digariskan dalam pelan struktur berkenaan sebagai persediaan apabila tiba masanya nanti.

Antara yang digariskan ialah penyediaan kemudahan tempat tinggal dan kesihatan bagi warga tua. Ini merangkumi rumah persaraan untuk kehidupan yang bebas, dilengkapi kemudahan perubatan serta rumah penjagaan atau nursing home.

Kemudahan tempat tinggal untuk golongan tua disaran diwujud untuk membolehkan mereka hidup tanpa bergantung kepada orang lain. Namun menurut PSKL2040, pewujudan kediaman dengan kelengkapan kesihatan memerlukan kajian mendalam.

Pelan tersebut mencadangkan tempat tinggal dibina di kawasan kediaman biasa atau kawasan komersial menurut kesesuaian. Kediaman tersebut sama ada dijual, dipajak atau disewakan kepada warga tua. Kawasan kediaman disyor mempunyai kelengkapan untuk aktiviti sosial serta kemudahan awam untuk keperluan mereka.

Dalam hubungan ini, melalui PSKL2040 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menawarkan garis panduan komprehensif bagi perancangan dan pembinaan rumah penjagaan untuk warga tua, selari dengan arahan agensi-agensi berkaitan.

Adi melihat apa yang digariskan oleh pelan struktur tersebut skopnya lebih luas dan terperinci. Ini kerana perlu diingat, dewasa ini pun sudah wujud rumah-rumah penjagaan warga tua kendalian kerajaan khusus bagi menyediakan suasana kehidupan lebih selesa untuk mereka.

Ramai daripada yang mendiami rumah ini antaranya hidup sebatang kara, tiada tempat hendak mengadu dan berlindung. Rumah orang tua menjadi persinggahan terakhir sebelum dipanggil menghadap Ilahi.

Namun ada juga yang mempunyai keluarga tetapi disisihkan dan terpaksa mencari kehidupan sendiri. Memang tidak wajar bagi keluarga, atau anak-anak meletakkan ibu bapa di rumah orang tua. Namun kenyataannya perkara ini terjadi.

Kerana itu ada yang secara sukarela memilih tinggal di rumah penjagaan kerana merasai diri lebih terbela dengan perhatian dan kasih sayang diberi oleh kerajaan. Hidup lebih seronok dikelilingi rakan-rakan yang sebaya dan senasib dalam melalui sisa kehidupan.

Adi tidak dapat menduga bentuk kawasan kediaman khusus untuk warga tua yang bakal diwujudkan nanti. Adakah ia kawasan terkawal dalam kawasan bebas? Maksudnya dalam satu kawasan kediaman terdapat satu kawasan untuk warga tua, tetapi diasingkan dengan pagar atau sebagainya.

Jika matlamatnya untuk dijual, dipajak atau disewa, konsep kawasan kediaman warga tua ini nyata berbeza dengan rumah kebajikan milik kerajaan. Ini kerana semua kemudahan dan sara hidup penghuni rumah kebajikan ditanggung oleh kerajaan.

Kerana itu Adi terfikir dalam membina kawasan kediaman untuk warga tua, elok juga menambah atau membesarkan saiz rumah kebajikan. Dengan itu lebih ramai warga tua boleh menghuni rumah berkenaan di seluruh negara tanpa perlu menanggung kos.

Namun jika matlamatnya mahu memberi peluang kepada yang mampu untuk mempunyai kediaman sendiri dan membayar sendiri untuk semua kemudahan, apa yang dicadang dalam PSKL 2040 itu adalah kaedah atau pilihan terbaik.

Pada masa ini pun ramai warga tua tinggal di rumah sendiri yang telah mereka beli sewaktu usia muda. Tidak kurang ramai pula yang serasi tinggal bersama anak-anak atau kaum keluarga lain. Bagi mereka ini tiada lagi keperluan rumah, apatah lagi untuk tinggal di rumah kebajikan.

Apa yang diharap, di mana juga warga tua ini tinggal, mereka akan menjalani kehidupan dengan selesa dan kesihatan terjaga. Juga keperluan sosial dan ekonomi dipenuhi serta urusan harian mudah dilaksana. Tiada apa yang lebih membahagiakan warga tua selain kehidupan yang tenang dan damai.

Masih mengenai penghuni warga kota, Adi ingin menyentuh satu lagi aspek yang ditekankan dalam PSKL2040. Pelan tersebut mengunjurkan Kuala Lumpur akan mengalami peralihan (shift) profil penduduk pada 2040.

Jika jumlah warga tua diunjur meningkat kepada 17.3 peratus, jumlah isi rumah (households) keluarga pula berkurang daripada kepada 3.0 pada 2040, berbanding unjuran 3.2 pada 2025. Mengambil kira faktor ini, perancangan dan pengurusan perumahan perlu mengambil kira perubahan profil ini.

Bagi Adi, perumahan masih menjadi salah satu isu utama dihadapi warga kota, terutama bagi golongan kurang berkemampuan. Mereka menaruh harapan tinggi kepada perumahan awam seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) kendalian DBKL. Ini kerana sewa atau harganya lebih rendah berbanding projek perumahan yang dimajukan oleh swasta.

Kerana itu peralihan isi rumah tidak harus menjejaskan penyediaan kediaman kepada golongan memerlukan yang menunggu hingga berpuluh tahun mendapatkan unit PPR atau PA. Jumlah yang menunggu makin bertambah setiap tahun berbanding pembinaan rumah baharu. Ini kerana kediaman baharu mengambil masa untuk disiapkan.

Justeru semakin lama keadaan makin mendesak. Adi percaya perkara ini akan diberi perhatian utama seiring pelaksanaan PSKL2040. Selama ini pun memang kerajaan sentiasa prihatin menyediakan tempat berlindung daripada panas dan hujan kepada warga kota, malah seluruh negara.

Jangan lupa dalam kalangan mereka yang memerlukan kediaman adalah Orang Kurang Upaya (OKU). Kerana itu PSKL2040 menekankan perlunya usaha bersepadu dilaksana oleh pelbagai agensi dalam memastikan golongan ini tidak diabai. Jumlah yang berdaftar sebagai OKU di Kuala Lumpur meningkat 12.2 peratus pada 2020, iaitu berjumlah 38,590 berbanding 34,299 pada 2019.

Kerana itu juga antara cadangan yang digariskan ialah memberi kuota untuk golongan OKU menyewa rumah kos rendah di Kuala Lumpur atau flat DBKL, dilengkapi dengan kemudahan, misalnya laluan OKU dan kawasan parkir khas.

Yang diharapkan ialah PSKL2040 akan memacu kecemerlangan Kuala Lumpur dan pada masa sama mensejahterakan rakyat. Inilah matlamat pelan tersebut dalam usaha menjadikan ibu kota berdiri megah setanding bandar raya lain di dunia dan warganya pula bahagia dan ceria.

MEMBERi kuota untuk golongan OKU menyewa rumah kos rendah di Kuala Lumpur antara cadangan yang digariskan dalam PSKL 2040.

Adi — Bangga jadi warga kota

WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas