Berita

Basmi kemiskinan bandar

Gambar hiasan
- Diterbit 6 Disember 2019 9:56 AM MYT

PUTRAJAYA – Isu kemis­kinan bandar bukanlah perkara baharu, malah pelbagai pendekatan dilakukan kerajaan bagi memasti­kan masalah yang membelenggu sejak sekian lama itu diselesaikan.

Kali ini, satu seminar sehari bertajuk Pembasmian Kemis­kinan Bandar akan diadakan di Dewan Serbaguna, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) di sini pada 5 Disember ini.

Seminar tersebut akan me­libatkan 16 kertas kajian yang disediakan pelbagai pihak yang terlibat secara langsung dengan isu kemiskinan dan sosioekonomi masyarakat bandar selama ini.

Program itu merupakan anjuran bersama KWP, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Majlis Belia Wilayah Persekutuan.

Menurut Menterinya, Khalid Abd. Samad, seminar tersebut diadakan berikutan masalah kemiskinan bandar adalah isu lama yang tiada jalan penyelesaian.

Malah, ujar beliau, ia berpunca daripada orang kampung yang berhijrah ke bandar bagi mendapatkan pekerjaan.

“Malangnya bukan semua yang berhijrah itu berjaya memperoleh pekerjaan di bandar sekali gus kehidupan me­reka itu menjadi satu kitaran hi­dup miskin yang berulang.

“Ia boleh dilihat dalam pelbagai bentuk antaranya perumahan. Masalah utama adalah isu setinggan dan ia masih wujud akibat rumah panjang yang disediakan pengendali ladang getah, setelah ladang ditutup mereka jadi warga kota tanpa rumah serta mata pencarian,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini baru-baru ini.

Khalid memberitahu, melalui seminar berkenaan pihaknya mengumpulkan pakar-pakar akademik, ekonomi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan kebajikan demi mencari idea serta cadangan yang bernas, segar dan praktikal sekali gus mencapai matlamat untuk membasmi kemiskinan.

“Jutaan bantuan diberikan berdekad lama sejak kerajaan terdahulu sehingga sekarang tetapi masalah ini masih wujud dalam skala yang besar.

“Seminar ini bertujuan mencari kaedah terbaik dengan sesi ‘brainstorming’ bersama pakar-pakar kemiskinan dan individu yang boleh menyumbang idea kritis termasuk mengambil kira kaedah yang diguna pakai negara serantau di India dan Filipina.

PENYEWA rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik DBKL yang tidak mampu membayar boleh melakukan kerja sambilan yang disediakan kontraktor sekali gus membantu golongan terbabit.

“Kertas kajian akan dibentangkan NGO, aktivis ma­syarakat dan ahli akademik termasuk Profesor dari universiti awam supaya dapat membantu kerajaan mencari idea bagi membasmi atau mengurangkan kemiskinan bandar,” ujar­nya.

Ditanya sebarang data tepat berkaitan kemiskinan bandar, kata Khalid, mengikut statistik e-Kasih, seramai lebih 4,000 miskin bandar termasuk miskin tegar direkodkan di Wilayah Persekutuan.

Jelas beliau, selepas seminar itu, satu bengkel penyelidikan akan dianjurkan pula selama enam hingga lapan bulan sehingga pertengahan 2020 dan ia akan melibatkan pihak antarabangsa yang berpengalaman dalam mengendalikan isu kemiskinan sebelum menyediakan satu pelan tindakan menyeluruh untuk digunakan dalam membasmi kemiskinan bandar di negara ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa tiada keperluan untuk merujuk pelan tindakan ke Kabinet kerana hasil pelaksanaan adalah bagi matlamat yang telah dipersetujui sebelum ini iaitu demi Kemakmuran Bersama.

“Miskin bandar juga bermanfaat dari kemakmuran bersama yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada hari seminar juga akan diadakan mini pameran yang mempamerkan hasil inisiatif NGO sehingga berjaya mengeluarkan warga miskin dari kepompong miskin tegar,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas