Berita

Mahu seminar jadi titik mula bantu miskin bandar

MENGIKUT statistik e-kasih lebih 4,000 miskin bandar di Wilayah Persekutuan.
- Diterbit 6 Disember 2019 10:03 AM MYT

PUTRAJAYA – “Saya harap seminar ini akan menjadi satu titik permulaan usaha baharu untuk membantu masyarakat miskin bandar,” ujar Pengerusi Seminar Pembasmian Kemis­kinan, Datuk Ahmad Abd. Ta­lib.

Menurut beliau, melalui penganjuran seminar itu, pihak terlibat khususnya ke­rajaan dapat mengenal pasti dengan lebih terperinci individu-individu yang tergolong dalam miskin bandar.

Jelas beliau, dengan langkah itu, kaedah atau bantuan khusus dapat dikenal pasti sebelum disalurkan kepada golongan sasar.

“Kita mahu membantu mereka ke­luar daripada kelompok miskin dengan usa­ha-usaha seperti keusahawanan. Bak kata pepatah ‘me­ngajar memancing adalah lebih baik daripada memberi ikan semata-mata,” ujarnya.

AHMAD

Dalam pada itu, Ahmad turut menyatakan bahawa, pihak yang terlibat dengan seminar memerlukan satu tahun untuk mewujudkan Pelan Tindakan yang baik, menyeluruh dan praktikal untuk membantu masyarakat miskin bandar.

Beliau yang aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Salam Malaysia memberitahu, pertubuhan berkenaan banyak melakukan kerja-kerja kemanusiaan dan bergerak apabila terdapat bencana alam sama ada di dalam atau luar negara.

Jelas beliau, NGO yang diwujudkan sejak 22 tahun lalu juga aktif dalam membantu gelandangan terutama memberi makanan dan pakaian dengan bantuan syarikat-syarikat yang memberi tajaan wang ringgit atau barangan keperluan.

“Salah satu usaha yang berjaya dilaksanakan adalah membantu mereka yang bergantung dengan dadah untuk keluar daripada belenggu bahan itu. Usaha ini sangat berjaya tetapi terpaksa dihentikan kerana kekurangan dana.

“Satu usaha membantu golongan yang tidak berada ialah kempen “Back to School” yang masih lagi berjalan. Se­tiap tahun kami mendapatkan penaja untuk memberi pakaian seragam murid sekolah termasuk beg, kasut dan stokin,” jelasnya yang turut mendapat sokongan dari Jabatan Pendidikan terutama di peringkat daerah.

Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu, masyarakat miskin bandar sama seperti orang lain yang turut memerlukan tempat tinggal, makan, pakaian dan keperluan asas lain.

Katanya, pada masa ini, ramai yang mempunyai tempat tinggal tetapi kurang mampu dalam hal-hal lain.

Justeru tambahnya, per­kara itu yang perlu dikaji dengan terperinci supaya apa juga jenis bantuan yang dirancang sampai kepada golongan sasaran.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas