Artikel

MMU komited lahirkan graduan intelektual, tawar yuran istimewa

YURAN istimewa yang ditawarkan oleh MMU mencerminkan komitmen universiti untuk melahirkan pemimpin masa depan negara dengan ilmu pengetahuan tercanggih dan kemahiran digital dalam suasana mencabar wabak COVID-19. YURAN istimewa yang ditawarkan oleh MMU mencerminkan komitmen universiti untuk melahirkan pemimpin masa depan negara dengan ilmu pengetahuan tercanggih dan kemahiran digital dalam suasana mencabar wabak COVID-19.
- Diterbit 11 September 2021 3:30 AM MYT

UNIVERSITI Multimedia (MMU) menawarkan yuran istimewa serta pengecualian yuran kemasukan program Diploma dalam melahirkan pemimpin masa depan dengan ilmu pengetahuan tercanggih dan kemahiran digital yang relevan dengan peredaran zaman.

Presiden MMU, Prof Dato’ Dr Mazliham Mohd Su’ud.

Presiden MMU, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud berkata harga istimewa serendah RM6,000 ditawarkan sebagai satu inisiatif dalam meringankan beban ibu bapa dan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“MMU menawarkan harga istimewa serendah RM6,000 untuk kesemua program asasi yang ditawarkan kecuali Perundangan, sebagai satu inisiatif untuk meringankan beban ibu bapa dan penjaga pelajar lepasan SPM yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Pada masa yang sama, MMU juga mengecualikan yuran kemasukan bagi mereka yang berminat untuk mengikuti program Diploma,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Mazliham menjelaskan langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha universiti dalam memperjuangkan pendidikan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Jelasnya lagi pandemik COVID-19 ini membuatkan ramai ibu bapa menangguhkan perancangan untuk menghantar anak melanjutkan pelajaran akibat mengalami masalah kewangan.

“Kami menyedari sepenuhnya bahawa pandemik ini telah menyebabkan ramai dalam kalangan ibu bapa dan penjaga mengalami penurunan dalam kemampuan kewangan, yang mengakibatkan mereka menangguhkan rancangan untuk menghantar anak-anak melanjutkan pelajaran, atau mereka membatalkan rancangan itu sepenuhnya.

“Jika hal ini terjadi, negara akan mengalami kerugian, dan bagi mengelakkan perkara itu, kami memainkan peranan kami dalam membantu memastikan anak muda Malaysia dapat melanjutkan pengajian seperti biasa,” tambahnya.

Menurut Mazliham, kadar yuran pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) telah dikurangkan daripada RM27,000 kepada RM19,500 bagi pengambilan bulan September 2021.

Tambahnya di samping bantuan kewangan, MMU juga menawarkan pelbagai biasiswa kepada pelajar yang layak seperti Biasiswa Presiden, Biasiswa Merit dan Biasiswa Kecemerlangan Sukan.

“Biasiswa Presiden merupakan biasiswa yang paling didambakan oleh pemohon yang merangkumi 100 peratus tajaan yuran pengajian untuk program peringkat asasi, diploma, atau bachelor dan berikutan nilainya yang tinggi, pemohon akan ditemu duga dengan mengambil kira latar belakang sosioekonomi mereka.

“Sementara itu, Biasiswa Merit pula membolehkan pengurangan jumlah yuran sehingga 50 peratus untuk program asasi, diploma, atau bachelor, manakala Biasiswa Bakat MMU merangkumi 50 peratus atau 100 peratus tajaan pengajian yuran, bergantung pada kecemerlangan bakat pelajar pada peringkat negeri atau nasional sama ada dalam bidang sukan, muzik, debat, kesenian, pementasan dan penulisan.

“Selain itu, MMU turut menawarkan peluang biasiswa lain seperti tajaan daripada pelbagai yayasan, syarikat, dan organisasi,” jelasnya mengenai biasiswa yang disediakan oleh MMU.

Dalam pada itu, Mazliham berkata pendaftaran untuk pengambilan September akan diadakan pada 27 September 2021 dan kuliah akan bermula pada 4 Oktober 2021. Layari laman web www.mmu.edu.my untuk maklumat lanjut mengenai tawaran yang disediakan. -WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas