Berita

Banyakkan aktiviti di UTC bantu tingkat jualan peniaga

SALAH seorang peniaga berharap lebih ramai pengunjung datang ke Pasar Sentral UTC Labuan.
- Diterbit 7 Mac 2020 8:23 AM MYT

LABUAN – Rata-rata peniaga Pasar Sentral yang terletak di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Labuan di sini berharap agar pihak terbabit terutamanya Perbadanan Labuan dapat menganjurkan lebih banyak aktiviti di situ.

Ini bagi membolehkan lebih ramai pengunjung datang sekali gus dapat membantu meningkatkan jualan para peniaga selain memeriahkan lagi kawasan UTC.
Peniaga ikan, Syawal Ali, 63, berkata, dia yang berniaga hampir 30 tahun bermula dari pasar lama berasa gembira dan meminta para peniaga lain mengambil peluang untuk berniaga di Pasar Sentral.

“Pasar ini dibina untuk golongan bumiputera berniaga. Dahulu, keadaan pasar lama kecil berbanding sekarang,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga makanan dan minuman, Arma Yussuf, 36, berkata, pembukaan Pasar Sentral dilihat mampu menjana ekonomi­nya.

“Kita (peniaga) kena pandai. Apa kehendak pelanggan, kita kena bijak dan rajin berusaha selain kreatif mempelbagaikan perniagaan.

“Kebanyakan pelancong suka membeli kuih, minuman selain kerepek. Kalau orang tempatan, suka kuih yang digoreng,” katanya.

Pasar Sentral mempunyai dua bahagian iaitu bahagian barang basah seperti ikan, ayam dan daging, manakala bahagian barang kering seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan pelbagai lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas