Berita

Banyak kes rasuah libat isu ketirisan perolehan kerajaan

- Diterbit 3 September 2020 2:34 AM MYT

KEBANYAKKAN kes rasuah dari tahun 2015 sehingga kini banyak melibatkan isu ketirisan perolehan kerajaan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut kes berkenaan, beliau berkata sejak kebelakangan ini terdapat kes pegawai kerajaan bertugas di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyeleweng dalam hal-hal perolehan kerajaan sehingga melibatkan kehilangan jutaan ringgit.

“Tanggungjawab kita adalah memastikan supaya pegawai-pegawai GLC agar mereka lebih patuh pada urus tadbir baik dan meningkatkan integriti dalam urus tadbir.

“Saya beri contoh terdapat satu kes di Sabah dahulu yang pihak kerajaan telah mengeluarkan sebanyak RM1.5 bilion untuk projek bekalan air di negeri itu dan apabila SPRM siasat mendapati nilai kos projek kurang daripada separuh sahaja wang yang dikeluarkan,” katanya dalam temu bual bersama radio Melakafm, hari ini.

Azam berkata wang selebihnya telah hilang dan hasil siasatan SPRM telah menahan tiga pegawai kanan kerajaan yang masih dalam perbicaraan dan merampas wang berjumlah RM114 juta daripada mereka.

Sementara itu, mengulas mengenai Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, Azam berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih meneruskan lagi usaha pencegahan rasuah secara berkesan dengan menyokong SPRM dalam pelbagai aktiviti.

Beliau berkata pelan berkenaan mengandungi banyak inisiatif untuk mencegah rasuah secara berkesan.

Katanya pihaknya mengamalkan ketelusan dengan memaklumkan kepada masyarakat tentang kes-kes berprofil tinggi supaya orang ramai tahu hasil siasatan SPRM.

NACP dilancarkan pada awal Januari tahun lepas bagi memperkasa dan mempertingkat integriti dalam kalangan penjawat awam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas