Berita

Dinasihat Tidak Bekerja, “Siapa Nak Bagi Makan Anak-Anak Saya”? – NAZ RAHMAN

|NAZ RAHMAN lebih berhati-hati menjalani aktiviti seharian kerana saraf tunjang yang dibedah masih dalam proses rawatan. |KEADAAN saraf tunjang pada leher Naz sebelum dibedah pada Mac lalu.|KEADAAN leher Naz selepas dibedah.
- Diterbit 3 September 2020 3:38 AM MYT

“Doktor menasihati saya untuk tidak bekerja dan mengangkat benda berat tetapi siapa pula nak bagi makan anak-anak saya?”, luah pengacara popular Naz Rahman kepada Wilayahku.

Naz yang menjalani pembedahan untuk merawat saraf tunjang termampat pada bahagian lehernya sekitar Mac lalu ini dinasihati doktor agar tidak bekerja dan mengangkat benda berat. 

Namun, pengacara rancangan Jalan-Jalan Cari Makan ini perlu bekerja dan mencari rezeki setelah terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19. 

NAZ RAHMAN lebih berhati-hati menjalani aktiviti seharian kerana saraf tunjang yang dibedah masih dalam proses rawatan.

Dalam pada itu, Naz atau nama sebenarnya Nazrudin Habibur Rahman,41,  tidak lupa menjalani fisioterapi.

“Saya sedang menjalani fisioterapi dan sebenarnya saya masih lemah walaupun sudah beberapa bulan berlalu.

“Prosedur itu membabitkan pemotongan pada bahagian hadapan leher saya untuk mengeluarkan tulang belakang. Doktor kikis dan letakkan semula.

KEADAAN saraf tunjang pada leher Naz sebelum dibedah pada Mac lalu.

“Dengar macam takut tapi mujurlah saya tak sedarkan diri ketika itu,”  katanya yang mengalami saraf tunjang termampat akibat aktiviti fizikal seharian serta postur kedudukan leher yang tidak sepatutnya ketika bekerja. 

“Sakit ini berpunca dari saraf tunjang dan merebak ke bahagian tangan. Jika tidak dibedah ia akan menjejaskan fungsi lain separuh daripada badan saya hingga ke kaki.

KEADAAN leher Naz selepas dibedah.

“Pernah ketika saya sedang mengacarakan program tiba-tiba mikrofon tercampak sebab saya tidak dapat mengawal tangan kanan saya. Sampai malu jadinya!

“Ia sebenarnya penyakit moden, kepada anda yang berusia 35 tahun ke atas yang selalu sangat tengok skrin, main telefon pintar dan buat kerja berjam-jam serta selalu menduduk, itulah punca bahagian saraf tunjang saya hancur.

“Saraf itu terkepit dan lama kelamaan ia menjadi semakin kecil. Oleh itu, berhenti rehat setiap 45 minit dan regangkan badan ketika bekerja,” nasihatnya yang susut berat badan sebanyak 20 kilogram selepas menjalani pembedahan. 

Antara rancangan lain yang turut dihoskan oleh Naz adalah Anugerah Skrin, Anugerah Industri Muzik, Malaysian Top Host, The Breakfast Show dan sebagainya. 

 Naz juga sudah berlakon banyak drama antaranya What If, Blogger Boy, Ghost, Realiti, KL Lights dan banyak lagi. 

Menyentuh soal peribadi, Naz  berkahwin dengan penyampai berita NTV7, Sheahnee Iman Lee pada 2008 serta dikurniakan tiga cahaya mata, Zara Aaliyah, Zakry Aiman dan Zayd Aaqil. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas