Selebriti

‘Banyak kali saya bertanya nak kahwin dengan Ira atau tidak?’ – Puteri Sarah

- Diterbit 7 Januari 2023 1:11 AM MYT

PELAKON Puteri Sarah mengaku berasa pelik kenapa selama empat tahun masalah mereka itu, suaminya Syamsul Yusof tidak berbincang malah menafikan mahu berkahwin dengan Ira Kazar.

Sarah berkata demikian selepas Syamsul membuat pengakuan sudah berkahwin dengan Ira Kazar, semalam.

Menerusi sebuah video yang dimuatnaik dalam Instagram semalam, Sarah juga berkata Syamsul sepatutnya memberitahu keluarga walaupun tidak mahu bertemu dengannya.

“Banyak kali saya bertanya nak kahwin dengan dia (Ira) atau tidak? Tapi dia sendiri kata tak nak. Dia kata bukan dengan saya saja tapi dengan ibu bapanya dan semua sepupu yang dia takkan kahwin dengan perempuan itu.

“Awak patut berbincang dengan ibu bapa saya walaupun awak tak mahu jumpa saya. Ini kerana saya masih ada ibu bapa dan begitu juga awak.

“Bila mereka tanya, banyak kali awak menafikan dan kata tak mahu perempuan itu,” katanya.

Dalam video tersebut, Sarah juga menjawab kenyataan Syamsul yang dikatakan tidak mahu berbincang tentang masalah yang dihadapi mereka.

“Macam mana nak bincang, dia dah ‘block’ (sekat) nombor telefon saya sejak setahun lalu.

“Awak tiada, awak tinggalkan kami. Saya terkontang-kanting terpaksa menjaga Syaikhul dan Sumayyah. Saya terpaksa jawab soalan mana ayah mereka? Setiap masa saya tipu mereka kata ayah bekerja.

“Selepas ini kita selesaikan semua ini di mahkamah dan saya tak nak lagi bebankan diri untuk menjawab persoalan mereka” katanya.– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas