Berita

Bantuan kesihatan mental

- Diterbit 5 Julai 2021 3:26 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan menyeru orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk terus memainkan peranan penting dalam menyalurkan bantuan kepada kelompok terjejas.

Menerusi catitan ‘Jom bersama melakukan amal makruf, bantu yang memerlukan’ di laman Facebook miliknya, Tan Sri TPr Annuar Musa menyatakan, selain pelbagai bantuan yang telah dan akan terus diberikan kerajaan, peranan NGO serta individu amat penting.

Ini kerana katanya, dalam tempoh kerajaan menjayakan Pelan Pemulihan Negara serta program vaksinasi secara besar-besaran masa ini, pihaknya mendapati ramai rakyat yang terkesan khususnya dari aspek kewangan.
“Jika untuk saudara kita jauh di Palestin dan lain-lain negara kita sanggup membantu serta teruskan membantu, sudah tentu kita boleh berganding bahu membantu saudara-saudara senegara dengan kita yang memerlukan,” luahnya pada Ahad lalu.

Justeru ujar Annuar, bagi tujuan itu, beliau menyuarakan hasrat untuk berganding bahu bersama-sama dengan individu mahupun sukarelawan dan NGO bagi melancarkan satu inisiatif.

Jelas beliau, inisiatif tersebut bertujuan mengadakan khidmat dapur prihatin (berpusat) bagi memberi makanan percuma kepada gelandangan, fakir, petugas barisan hadapan, musafir dan individu yang tidak berkemampuan dengan menyediakan 1,000 bungkusan setiap hari.

Selain itu, katanya, bilik penginapan hotel untuk musafir, kuarantin serta perantau yang tidak berkemampuan akan disediakan dengan konsem BSM (bayar minimum sekadar mampu).

Bagaimanapun, katanya, bagi pelajar mahupun perantau yang tidak mampu membayar, mereka akan diberikan hotel kuarantin secara percuma.
“Kita juga mahu sediakan ­khidmat Sahabat Kesihatan Mental ‘WE CARE’ dan kaunseling secara peribadi serta sulit kepada mereka yang memerlukannya.

“Pemberian vaksinasi akan diberikan kepada individu yang kurang upaya, terlantar dan memerlukan khidmat khas,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas