Berita

Rakyat tarik nafas lega, sambut baik PEMULIH

MUHYIDDIN ketika mengumumkan PEMULIH pada Isnin lalu.
- Diterbit 5 Julai 2021 3:23 AM MYT

RATA-RATA masyarakat Malaysia sambut baik Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

Bagi mereka inisiatif baharu itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan dan kehidupan yang semakin mendesak pada masa ini.

Pembantu Tadbir, Umar Basyir Ahmad Paiman, 25, berkata, PEMULIH dilihat sebagai bantuan sara hidup rakyat yang sangat efektif pada masa ini khususnya kepada golongan B40 dan individu terjejas pendapatan.

“Bantuan sara hidup ini sangat membantu mereka yang terjejas untuk menyara kehidupan dalam keadaan getir sekarang.

“Bantuan seperti moratorium dilihat dapat memudahkan mereka yang sedang menanggung banyak beban kewangan. Pada masa sama mereka terlibat dapat merancang semula kewangan untuk digunakan membeli keperluan,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Sementara itu, suri rumah, Doyah Kassim, 64, memberitahu, ­inisiatif terkini itu turut memberi manfaat kepada ibu tunggal sepertinya.
Katanya yang semata-mata bergantung kepada hasil persaraan arwah suami, bantuan kewangan untuk golongan B40 yang diperuntukkan kerajaan membolehkannya membeli barang keperluan harian.

“Anak-anak tidak dapat memberi duit sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kerana mereka juga ­terjejas. Duit pencen juga tidak banyak.

“Jadi ­bantuan kerajaan ini ­dapat membantu saya membeli barang ­keperluan dapur dan membayar bil ­utiliti. Rebat elektrik yang diberikan juga ­amat membantu,” luahnya.
Bagi pekerja swasta, Deraman Mustopa, 30, pula, bantuan ­moratarium yang diumumkan ­kerajaan amat membantu namun ia perlu ­dilaksanakan dengan lebih telus ­supaya individu yang memohonnya tidak ­dibebani ­dengan faedah ­tambahan semasa ­proses pembayaran semula dilakukan.

Katanya, amatlah perit ­apabila ­peminjam terlibat yang turut ­kehilangan pekerjaan atau ­menghadapi masalah kewangan, terpaksa ­menanggung hutang berganda selepas tamat tempoh moratorium.

Pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan satu lagi pakej bantuan bernilai RM150 bilion yang diberi ­nama PEMULIH dan turut ­merangkumi ­suntikan langsung fiskal kerajaan ­sebanyak RM10 bilion.

PEMULIH bertujuan untuk memberikan bantuan secara menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu ­kepada tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan ­vaksinasi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas