‘Jangan lari, jangan tinggalkan tempat PKPD’ – Annuar
MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa menyeru masyarakat tidak lari dan meninggalkan kawasan PKPD sepanjang ia dilaksanakan. Foto-BERNAMA

‘Jangan lari, jangan tinggalkan tempat PKPD’ – Annuar

PENDUDUK di lokaliti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dinasihatkan agar tidak cuba melarikan diri dan meninggalkan kediaman masing-masing.

Perkara ini ditegaskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa, masyarakat tidak perlu lari dan meninggalkan kawasan PKPD sebaliknya memahami bahawa pelaksanaan ini adalah usaha untuk mengekang penularan yang lebih berleluasa.

“Saya merayu kepada penduduk supaya memahami bahawa PKPD bukan untuk hukuman tetapi adalah kaedah yang diperakukan oleh pakar-pakar kesihatan bagi menghalang penularan yang lebih besar.

“Sekiranya kita lari daripada kawasan PKPD, berkemungkinan kita akan membawa virus di tempat yang baru dan itu tidak membantu sebaliknya akan menyebabkan penularan yang lebih cepat ke tempat lain,” katanya kepada Wilayahku.

Mengulas lanjut, Annuar memaklumkan bahawa sebanyak 60 buah rumah meliputi 60 keluarga telah meninggalkan kawasan PKPD.

“Kita tidak tahu ke mana mereka pergi. Mereka mungkin pembawa virus secara tidak sedar dan kemungkinan mereka telah mewujudkan satu kluster di tempat yang baru dituju.

“Setengah tempat cuba potong wayar kawat berduri.Ada yang telah meninggalkan kawasan apabila PKPD dilaksanakan,” kata Annuar.

Jelasnya, adalah lebih baik sekiranya masyarakat dapat bertahan dua minggu dan memberi kerjasama sepenuhnya serta tidak membawa virus di kawasan yang telah dikenalpasti ada aubrid.

Tegas Annuar, cara tersebut tidak membantu usaha kerajaan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 di negara tetapi ia akan menambah dan menyukarkan pelbagai pihak untuk menyelesaikan masalah ini.

Sebelum ini, Kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di  14 lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan beberapa mukim di Selangor selama 14 hari bermula 3 Julai sehingga 16 Julai 2021. – WILAYAHKU – HAZIRAH HALIM

CATEGORIES