Agama

Kes bunuh diri… “Kembalilah kepada al-Quran” – Ustaz Ashraf

USTAZ Ashraf Suarin semakin dikenali ramai menerusi Radio Zayan.FM
- Diterbit 7 Januari 2022 4:43 AM MYT

PENDAKWAH bebas yang juga penyampai radio Zayan FM, Ustaz Ashraf Suarin mengaku seronok berdakwah menerusi radio.

Ashraf yang mengendalikan segmen Zayan Hujung Minggu Bersama Ustaz Ashraf Suarin berkata, dia menggunakan platform radio sebagai satu saluran dakwah terbaik.

Katanya, kandungan yang dibawakan dalam segmen terbabit adalah sentuhan hati dengan mendengar luahan rasa daripada pendengar.

“Cabaran hidup yang terpaksa kita lalui hari ini tanpa adanya sokongan akan melemahkan semangat dan tidak mustahil tanpa berfikir panjang akan bertindak di luar dugaan.

“Jadi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi, kembalilah kepada ajaran Islam berpandukan al-Quran dan sunnah yang menyediakan panduan lengkap untuk kehidupan di dunia dan akhirat.

“Aduan yang saya terima ialah kesusahan hidup terutama selepas dunia dilanda pandemic Covic-19, perceraian dan putus kasih. Mereka ini perlu diberi motivasi supaya tidak tersalah langkah kerana kebelakangan ini ramai yang hilang punca sehingga bunuh diri,” katanya.

Beliau kini bersiaran secara langsung di Zayan (Zayan FM) pada Sabtu (jam 1 tengah hari hingga 6 petang) dan Ahad (jam 6 pagi hingga 11.30 pagi), menerusi program Zayan Hujung Minggu.

USTAZ Ashraf Suarin semakin dikenali ramai menerusi Radio Zayan.FM

Kata Ustaz Mohd Ashraf, sebagai pendakwah beliau bertanggungjawab untuk membawa umat Islam ke jalan kebenaran dengan memperluaskan lagi gerakan dakwahnya menerusi dunia penyiaran tanah air dan media sosial yang mempunyai capaian internet yang lebih menyeluruh.

Masyarakat sekarang terutamanya golongan muda lebih tertarik dengan kandungan kreatif, maka perlunya pendekatan dakwah yang lebih santai dan interaktif.

“Sebelum ini saya menulis buku, memberi motivasi kepada pelajar sekolah dan remaja bermasalah. Untuk mendekatkan diri dengan anak muda, kita perlu ikut trend yang mereka suka.

“Ini juga mendorong mereka melayari media sosial untuk perkara yang berfaedah. Para pendakwah tidak lagi boleh terlalu formal tetapi perlu berfikiran dan bersikap terbuka.

“Sekarang pun semakin ramai ustaz berdakwah menggunakan Tik Tok. Pendakwah juga bukan penghukum tetapi sebagai ‘jurupandu’ kepada mereka.

“Ramai di antara kita tidak faham konsep dakwah yang sebenarnya dengan terus menjatuhkan hukuman. Tegurlah dengan lembut dan berhikmah namun masih dalam ketegasan,” katanya yang juga pengetua Pondok Hamlatul Quran (PMHQ) yang terletak di Tanjung Karang, Selangor.

Perniagaan

Beliau yang juga pengetua Pondok Hamlatul Quran (PMHQ), turut mengambil inisiatif mencari dana untuk menampung berpuluh anak yatim dan golongan asnaf yang diasuh untuk menjadi penghafaz al-Quran dengan menjual beras.

Ustaz Mohd Ashraf berkata, dia terfikir idea untuk menjual paket beras tempatan menggunakan jenama ‘Ashraffi’ memandangkan pusat kebajikan dan pendidikan itu memerlukan sekitar RM40,000 sebulan untuk meneruskan operasi.

HANYA RM5 sekilogram. RM 1 akan disalurkan kepada Pondok Hamlatul Quran (PMHQ).

PMHQ diuruskan pusat pengurusan Pertubuhan Kebajikan Pondok Motivasi bertapak di Tanjung Karang, Selangor, ditubuhkan pada Mac 2013 dan terbuka kepada remaja serta kanak-kanak yang mempunyai keinginan untuk mendalami al-Quran.

Selain itu, beliau juga mengusahakan perniagaan minuman iaitu Kopi Vietnam dengan membuka kiosk Ngopi Ashraffi, terletak di Pondok Souq, Meru.

Kepada yang berminat untuk membuka kiosk itu, bolehlah berhubung dengan beliau dengan modal mampu milik.

“Saya mahu mengajak anak muda berniaga dan menjadi barrister yang berjaya. Berniaga bukan semata-mata untuk keuntungan tetapi juga boleh dijadikan saluran untuk kita beribadah,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas