Berita

Bantuan caruman Perkeso YWP

PEMANDU teksi bergambar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Caruman Perkeso YWP di Kampung Baru di sini, Selasa lalu.
- Diterbit 5 September 2019 8:49 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Pendaftaran Program Bantuan Caruman Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) Pemandu Teksi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dilanjutkan sehingga 16 September ini bagi membolehkan lebih ramai golo­ngan terbabit mendaftar.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, melalui langkah itu diharap golongan sasar dapat mengambil peluang mendaftar dan mencarum Perkeso menerusi program yang dilaksanakan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

“Saya berharap lebih ramai akan berdaftar dengan Perkeso kerana masih ada lebih 2,000 pemandu teksi yang belum berdaftar.

“Pada masa ini, YWP memperuntukkan RM201,988.90 kepada 2,926 pemandu teksi yang berdaftar dalam program bantuan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Caruman Perkeso oleh YWP di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kemen­terian Perumahan dan Ke­rajaan Tempatan merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Zamri Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun dan Ke­tua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri Perkeso, Azhar Mohd. Nazri.

Menurut Khalid, program berkenaan dilaksanakan dalam tiga peringkat bermula Jun hingga Julai tahun ini melibatkan tiga kategori.

Jelas beliau, kategori pertama adalah bantuan caruman untuk pemandu teksi yang telah berdaftar dengan Perkeso dan aktif membuat caruman.

“Caruman adalah dalam tempoh enam bulan iaitu dari Jun hingga Disember 2019 atau Januari hingga Jun 2020 bergantung pada tarikh tamat caruman sedia ada.

“Maknanya siapa yang aktif dan bayar sampai hujung tahun 2019, kita akan bayar caruman bagi Januari sampai Jun 2020. Bagi kategori ini, hanya 81 orang terlibat dan jumlah caruman terlibat adalah RM6,366.60,” ujarnya.

Khalid memberitahu, bagi kategori kedua pula, ia me­libatkan 708 pemandu teksi berdaftar dengan Perkeso namun tidak membuat caruman dengan agensi itu.

Sehubungan itu, kata­nya, caruman yang dibuat bermula Jun hingga Disember tahun ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM55,648.80.

“Bagi kategori ketiga, bantuan khusus untuk pemandu teksi yang tidak berdaftar dengan Perkeso tetapi membuat pendaftaran ketika program berkenaan dijalankan sehingga tarikh tutup pada 31 Julai lalu.

“Seramai 2,137 pemandu teksi telah berdaftar dengan pihak Perkeso dan nilai caruman adalah untuk tempoh Julai hingga Disember tahun ini iaitu RM139,973.50,” jelasnya yang turut menyatakan program itu tidak akan me­libatkan pemandu GrabCar atau e-hailing.

Dalam pada itu, Azhar memberitahu, sebanyak RM7.86 juta pampasan dikeluarkan kepada 55,809 pemandu teksi di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas