Berita

Bantu masyarakat gelandangan

KHALID (tiga dari kanan) bersama isterinya Dr. Zaitun Abu Bakar (dua dari kanan) menyedokkan makanan kepada golongan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Hadir sama Zaizalnizam (empat dari kanan).
- Diterbit 10 Oktober 2019 7:42 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menyumbang sebanyak RM150,000 kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang merupakan pentadbir Pusat Transit Gelandangan sebagai salah satu tanggungjawab sosialnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zalzainizam Zainun, pihaknya tampil membantu Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur bagi membolehkan operasi untuk menyantuni golongan gelandangan di ibu kota dapat diteruskan.

“Kita yakin pusat transit ini memerlukan sumber kewangan untuk meneruskan operasi harian mereka bagi memberikan perkhidmatan kepada golongan gelandangan untuk berteduh,” katanya kepada Wilayahku ­baru-baru ini.

Menurut Zaizalnizam, YWP sudah menyalurkan sumbangan kepada pusat transit tersebut sejak tahun 2018 dengan menggunakan peruntukan hasil daripada pendapatan pernia­gaan yayasan berkenaan menerusi pengurusan papan iklan di sekitar ibu kota.

“YWP telah mendapat lesen peng­operasian daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menguruskan tiga unit paparan iklan dan melalui hasil itu, kami serahkan kepada YKN untuk menguruskan tempat ini. Melalui hasil itu, YWP memperuntukkan sebanyak RM50,000 bagi se­tiap unit paparan iklan bagi tujuan ini,’’ katanya.

Zaizalnizam berkata, meskipun jumlah sumbangan tersebut tidak seberapa, ia diharap dapat menampung kos pengoperasian pusat transit berkenaan dan memberi manfaat kepada golongan gelandangan di Kuala Lumpur.

Tambah Zaizalnizam, pihak YWP akan berusaha untuk menambah unit paparan iklan pada masa akan datang agar lebih ramai golongan dapat dibantu.

Terdahulu Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya bersedia menyalurkan bantuan kepada pusat transit ini pada masa akan datang.

“Pusat transit berfungsi membantu orang yang mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain tanpa rumah atau tanpa pekerjaan dan pendapatan tetap.

“Golongan ini mendapat pembelaan daripada kewujudan rumah transit ini agar mereka dapat memperbaiki kehidupan mereka melalui inisiatif yang disediakan untuk mereka ter­masuklah penyediaan peluang pekerja­an,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas