Berita

Catat lebih RM4 juta kompaun

ANTARA puluhan kenderaan yang tersadai di Depoh PPj Presint 9 akibat tidak dituntut oleh pesalah lalu lintas. Gambar kecil, Ali Jusoh.
- Diterbit 10 Oktober 2019 7:54 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

PUTRAJAYA – Bahagian Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya (PPj) merekodkan 22,166 kompaun dengan nilai lebih RM4 juta bagi kesalahan meng­halang lalu lintas di sini sejak Januari hingga 25 September lalu.

Daripada jumlah itu, 19,433 kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Ke­rajaan Tempatan 1976 (639 kes) dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (94 kes).

Bagi kesalahan tunda halangan lalu lintas pula, sebanyak 1,440 kesalahan mengakibatkan tindakan penguatkuasaan kapit tayar, tunda halangan lalu lintas (405 kes) dan tunda kereta buruk di kawasan perumahan (204 kes).

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Ali Jusoh berkata, tindakan tersebut dikenakan ke atas pemandu yang gagal mematuhi peraturan dan kaedah-kaedah jalan raya yang ditetapkan sehingga menyebabkan ke­sesakan di sekitar Putrajaya.

“Bagi kesalahan yang sama pada tahun lalu, kami merekod­kan 1,573 kes iaitu tindakan kapit tayar (1,250); tunda halangan (280 kes) dan tunda kereta buruk di kawasan perumahan (43 kes).

“Tindakan kapit tayar paling banyak direkodkan kerana pemandu bertindak meletakkan kenderaan di tempat larangan atau di garisan kuning,” kata­nya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Ali, tunda ken­deraan buruk di kawa­san pe­rumahan dilakukan kerana dibimbangi akan menjadi sarang haiwan berbisa atau mendatang­kan mudarat kepada pen­­duduk setempat khusus­nya kanak-kanak.

Selain itu, katanya, ia juga bertujuan menjadikan Putrajaya sebagai bandar contoh dalam pematuhan undang-undang jalan raya di sam­ping mendidik orang ramai supaya bertanggungjawab serta mengambil berat tentang aspek keselamatan pengguna jalan raya lain.

Untuk makluman, ken­­deraan yang ditunda dibawa ke depoh PPj di Presint 20 dan pemilik kenderaan perlu menuntutnya di Depoh Penguatkuasa PPj Presint 9 dengan mengemukakan dokumen ken­deraan dan pe­ngenalan diri.

PPj mengenakan caj RM30 bagi motosikal yang ditunda dan RM20 untuk kapit tayar manakala caj simpanan ialah RM50 sehari serta kompaun RM100.

Caj tunda kereta adalah RM100, RM50 bagi kapit tayar dan caj simpanan pula RM100 sehari manakala kompaun antara RM100 hingga RM150 dikenakan mengikut kesalahan.

Bagi bas dan lori berat tanpa muatan tidak melebihi 3,000 kilogram, caj tunda adalah RM300, RM100 bagi kapit tayar selain RM200 sehari untuk caj simpanan serta kompaun antara RM100 hingga RM150 mengikut kesalahan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas