Selebriti

“Bantu mangsa banjir pun kena kecam” – Peminat bela Baby Shima

|SEBAHAGIN mangsa banjir yang juga ahli Kelab BSS yang menerima bantuan banjir daripada Baby Shima|||FAIZUL Anje dari Baby Shima Supporters berharap masyarakat menghargai usaha banyak pihak termasuk artis dalam membantu mangsa banjir.
- Diterbit 27 Disember 2021 10:00 PM MYT

RAMAI peminat penyanyi Baby Shima akui terkilan apabila niat murni penyanyi kesayangan mereka untuk membantu mangsa banjir dipersoalkan segelintir netizen.

Menurut Ketua Kelab Peminat Baby Shima Supporters (BSS), Faizul Anje, usaha baik Shima sepatutnya dijadikan contoh apabila  memberikan bantuan kepada peminat-peminatnya yang menjadi mangsa banjir.

FAIZUL Anje bersama penyanyi kesayangannya, Baby Shima

“Apabila ada netizen mempersoalkan niat baik Shima untuk memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir, saya sangat kecewa.

“Entahlah… Bantu mangsa banjir pun kena kecam. Buat baik pun salah. Bagi saya niat baik untuk bantu mangsa banjir yang dalam kesusahan ini sepatutnya disokong oleh semua, bukannya mempertikaikan.

“Kami sebagai peminat yang rapat dengan Shima, kenal siapa Baby Shima yang sebenarnya. Tak semua benda baik nak dicanang-canang.

“Tambahan pula, siapa kita nak mempertikaikan perbuatan baik orang lain. Biarlah Allah yang menilai. Kita sebagai manusia yang lemah tidak berhak nak menilai atau mempertikaikan apa yang orang lain lakukan,” katanya yang kecewa dengan sikap segelintir netizen.

SEBAHAGIAN mangsa banjir yang juga ahli Kelab BSS menerima bantuan daripada Baby Shima

Pada Ahad lalu, Faizul bersama beberapa ahli BSS yang lain menyampaikan bantuan kepada peminat yang terkesan akibat banjir sekitar Klang dan Shah Alam.

“Kebetulan Shima terlibat dengan shooting di Kuantan, jadi kami wakil BSS mewakilkan bagi pihak Shima. Lagi pun perkara baik, kami pun berbesar hati dapat sama-sama terlibat membantu.

“Lagi pun, Shima tak mahu bantuan tersebut lambat sampai kepada mangsa banjir hanya kerana mahu menunggu dia selesai shooting.

“Alhamdulillah… Dengan bantuan makanan kering, keperluan harian dan wang tunai daripada Shima, sedikit sebanyak boleh membantu para peminat BSS yang menjadi mangsa banjir,” ujarnya lagi.

Pada minggu lalu baby Shima mengambil inisiatif menjual pakaian terpakai miliknya di TikTok bagi mengumpul dana membantu mangsa banjir.

Menurut penyanyi lagu Lalai ini, idea mengumpul dana menggunakan platform media sosial itu timbul selepas melihat peminat menjadi mangsa banjir. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas