Berita

Atasi keciciran pelajar di bandar

MAZNAH
MAZNAH
- Diterbit 26 Julai 2019 1:11 AM MYT

GOLONGAN remaja merupakan aset penting negara khususnya dalam pemba­ngunan sosial, budaya, ekonomi dan sukan. Asas pembentukan mereka bermula daripada pendidikan di sekolah rendah dan menengah iaitu melalui penguasaan kemahiran serta ilmu pengetahuan. Golongan remaja ini sepatutnya diberikan pendidikan dan tunjuk ajar yang baik supaya tidak terjebak dengan gejala sosial yang boleh menghancurkan masa hadapan mereka.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWP KL), MAZNAH ABU BAKAR berkata, visi utamanya adalah melahirkan pelajar-pelajar berpe­ngetahuan yang dilengkapi nilai-nilai murni serta berkeupayaan mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) seterusnya menjadi ‘player for the future’.

Ikuti temubual wartawan Wilayahku, NAZWIN NAZRI bersama Maznah mengenai visi dan peranan JPWP KL serta inisiatif yang diambil bagi membantu pelajar tercicir untuk kembali ke sekolah secara holistik.

WILAYAHKU: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tidak terkecuali daripada masalah keciciran pelajar, apakah inisiatif yang direncanakan bagi membantu pelajar terbabit dan mengatasinya?

MAZNAH: JPWP KL mempunyai data murid cicir. Apa yang kami lakukan adalah berkongsi maklumat berkenaan dengan pasukan khas murid tercicir yang terdiri daripada wakil Ahli Parlimen, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Jadi, dengan cara ini kami dapat kesan siapa sebenarnya tercicir dan langkah seterusnya yang boleh dilakukan. Seperti yang saya buat baru-baru ini, saya pergi ke rumah-rumah pelajar tercicir dan sebagai pengarah , saya mahu kembalikan mereka ke sekolah, sebagai contoh seorang pelajar bernama Syamil yang berhenti selepas tahun 6. Bila sudah lama tidak hadir ke sekolah, dia dibuang sekolah. Oleh itu langkah utama yang diambil adalah kembalikan dia ke sekolah. Kemudian Ahli Parlimen dan juga NGO akan memainkan peranan dengan memberi bantuan dari segi tambang ke sekolah atau wang saku. Keluarganya juga dibantu melalui ICU JPM dan pihak korporat supaya keluarga itu dapat berfungsi dengan sebaiknya.

Pada 18 Julai lalu kami lancarkan program pelajar tercicir kerana visi utama adalah untuk membantu pelajar ini dari aspek pendidikan. Di Program Perumahan Rakyat (PPR) khususnya, kami buat program mendekati pelajar dan juga keluarga. Seterusnya melihat pusat-pusat di PPR kerana saya difahamkan ada beberapa pusat yang disediakan untuk keperluan pelajar. Kami mahu mengimarahkan pusat-pusat PPR ini dengan penyediaan tuisyen dan mengaji. Pihak korporat atau industri boleh turut serta dengan menyediakan kemahiran kepada pelajar supaya golongan sasar boleh pergi menjana pendapatan di samping belajar sekali gus dapat membantu keluarga.

WILAYAHKU: Maksudnya pelajar itu akan bekerja sambil belajar?

MAZNAH: Bukan macam itu. Dia tidak pergi sekolah sebab mahu bekerja dan membantu keluarga, oleh itu, kalau kita hanya bawa dia ke sekolah tanpa beri dia apa-apa untuk dapat duit maka dia akan lari semula.

Sehubungan itu, pihak industri boleh bawa kemahiran-kemahiran yang boleh dijadikan kerja sambilan seperti membaiki telefon atau menjahit manik. Dengan itu, pelajar terbabit mempunyai peluang untuk menjana pendapatan kepada diri sendiri dan keluarga mereka.

Bagi saya, bantuan perlu dilakukan secara holistik iaitu bukan hanya membantu pelajar itu kembali ke sekolah tetapi keluarganya juga. Ini kerana kalau kita hendak ubah masyarakat yang sebegitu, kita kena melihat pada perubahan hidup dia dan pergi kepada pendidikan serta keluarga. Kalau duit tiada, macam mana hendak datang sekolah? Ada pula yang ibu dan bapa sudah uzur serta tidak mempunyai sebarang kemahiran untuk menjana pendapatan.

Oleh itu, kita cuba bagi peluang kepada anak-anak mereka untuk mendapatkan kemahiran. Untuk itu, saya lebih fokus kemahiran yang menjurus ke arah IR 4.0.

WILAYAHKU: Bilakah inisiatif se­perti itu akan dilaksanakan?

MAZNAH: Kita sudah mula daripada awal tahun ini. Bermula dengan mengumpul data, mesyuarat dan Alhamdulillah dalam tempoh lima bulan ini, banyak keluarga yang sudah dibantu. Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, daripada beribu-ribu yang kita kenal pasti itu, hanya 50 pelajar yang betul-betul memerlukan bantuan dan mereka ini sedang dibantu.

WILAYAHKU: Boleh perincikan kategori pelajar tercicir berkenaan?

MAZNAH: Kebanyakan adalah pelajar miskin. Mereka pernah bersekolah tetapi berhenti. Ini yang kita boleh cari, kalau dia tidak pernah sekolah, sukar untuk peroleh data. Contohnya, kita ambil data sekolah rendah, kalau lepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kita tidak menjumpai maklumat sekolah menengah maka dia murid tercicir.

WILAYAHKU: Bagi yang berhenti untuk tempoh setahun atau dua tahun pula adakah dia perlu ulang tingkatan atau mengikuti kelas pembelajaran bersama pelajar seumurnya?

MAZNAH: Dia kena ikut kelas berdasarkan umur. Kalau tidak, nanti susah dia mahu ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kita akan memaklumkan kepada cikgu. Kena ada bantuan berasingan kerana dia akan ikut kelas seperti biasa dan cikgu akan lihat kekurangan bagi memboleh­kan tumpuan sepatutnya diberikan. Itu cara kita bantu pelajar tercicir ini.

WILAYAHKU: Bagi IR 4.0 pula, apakah yang ingin ditekankan kepada pelajar?

MAZNAH: Bagi remaja yang minat terutama lelaki, kita akan beri jaringan jalur lebar, ‘digitalization’, percetakan 3D, benda-benda yang berkaitan ‘artificial intelligent’. Kita ada banyak industri di Kuala Lumpur yang sedang menjadi peneraju IR 4.0. Jadi saya mahu mereka turun ke sekolah dan ajarkannya kepada pelajar-pelajar ini. Ayat ‘apa yang mereka nak buat bila sudah besar’, sudah tidak relevan sebaliknya apa yang mereka boleh berikan pada masa hadapan. Maksudnya diri dia bukan hanya wujud untuk dia tetapi untuk komuniti yang dia kena bantu.

Itu adalah visi saya untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Saya mahu lahirkan pelajar yang holistik, bukan sahaja bagus dalam pelajaran malah turut mempunyai nilai murni seperti yang dinyatakan kerajaan iaitu hala tuju ‘memanusiakan manusia’. Justeru, kita fokus untuk melahirkan pelajar Kuala Lumpur yang mempunyai nilai empati, kemanusiaan dan pada masa sama mempunyai kemahiran.

Negara Malaysia kita adalah negara yang maju, perlu ada semua ini yang mempunyai kapasiti untuk menghasilkan inovasi. Kerana itu, kita panggil industri datang ke sekolah untuk berikan pendedahan terkini. Mereka seharusnya diberi pendedahan awal.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas