Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Bank Muamalat cadang lantik YWP sebagai rakan kongsi amal

ZAHARUDDIN (dua dari kiri) menyerahkan cek sumbangan bernilai RM20,000 kepada Abdul Rahman (tiga dari kanan)
- Diterbit 24 Mei 2024 12:30 PM MYT

BANK Muamalat bercadang untuk melantik Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sebagai rakan kongsi amal bagi pelaksanaan program-program kebajikan yang dilaksanakan khusus kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan asnaf di Wilayah Persekutuan.

Ketua Jabatan Kewangan Sosial, Bank Muamalat, Zaharuddin Alias berkata cadangan itu diutarakan memandangkan YWP sering terlibat dalam aktiviti-aktiviti kebajikan merangkumi bantuan makanan, pendidikan, teknologi, agama dan sebagainya.

“Kami bercadang untuk melantik YWP sebagai charity partner untuk menentukan projek-projek khas yang akan dilakukan dan dalam masa sama, kami boleh dapatkan dana awam melalui rakan kerjasama yang lain.

“Setakat ini Bank Muamalat mempunyai empat rakan strategik yang dilantik dan tugas mereka adalah mengenal pasti projek-projek yang dilakukan pertubuhan tersebut.

“Kemudian pertubuhan itu akan memaklumkan kepada kami berapa jumlah peruntukan yang diperlukan namun setakat ini kami terhad kepada RM10,000 sahaja untuk satu projek dan mereka berhak mendapat pelepasan cukai selain akan diuar-uarkan kepada masyarakat melalui laman sesawang atau sosial media,” katanya pada Majlis Penyerahan Mock Cheque Bank Muamalat kepada YWP di Wisma YWP pada Rabu.

Tambah Zaharuddin, pihaknya juga telah berbincang dengan YWP untuk mewujudkan usahawan i-TEKAD dalam kalangan peniaga B40 dan asnaf di Wilayah Persekutuan selain membantu mereka mendapatkan pensijilan halal.

“i-TEKAD merupakan program inisiatif kewangan sosial yang berkonsepkan pelaburan dan pembiayaan dalam menangani keperluan kewangan usahawan khususnya golongan asnaf dan
B40 bagi memulakan dan meneruskan perniagaan.

“Kami juga berbincang untuk mengadakan kerjasama memberi pensijilan halal kepada mana-mana peniaga atau usahawan di Wilayah Persekutuan di mana mereka boleh menghubungi kami atau YWP.

“Dengan adanya sijil ini, ia dapat meningkatkan perniagaan, pengeluaran eskport ke negara luar serta menambah pendapatan mereka selain kami juga harap inisiatif ini dapat ditunjukkan kepada masyarakat bahawa kami adalah sebuah bank yang prihatin akan nasib B40 dan asnaf,” ujar beliau.

Terdahulu, beliau hadir menyerahkan cek sumbangan bernilai RM20,000 untuk Program Bantuan Pemakanan Sekolah Menengah kepada Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas