Berita

Bank Islam lahirkan 23 jutawan

MOHAMED Iran (kanan) dan Mohd. Noor (kiri) bergambar bersama pemenang-pemenang Cabutan Jutawan dan Cabutan Khas Al-Awfar di Puchong baru-baru ini.
- Diterbit 26 September 2019 10:39 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kempen akaun AlAwfar yang dilaksanaka Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) berjaya melahirkan seramai 23 jutawan sejak ia dilancarkan 10 tahun lalu dengan saiz dana berjumlah RM2.45 bilion dengan 771,496 akaun.

Al-Awfar baharu yang dilancarkan April pula sehingga kini berjaya mencapai saiz dana bernilai RM197 juta dengan 89,045 akaun.

Ketua Pegawai Operasi Bank Islam, Mohamed Iran Morrif Mohd. Shariff berkata, dengan Al-Awfar baharu ini, pihaknya menyasarkan saiz dana akan meningkat kepada RM800 juta dan 230,000 pelanggan baharu pada tahun ini.

“Al-Awfar baharu menampil­kan penambahbaikan kepada produk Al-Awfar pertama yang telah dilancarkan 10 tahun lalu. Al-Awfar merupakan satu produk pelaburan yang inovatif dan unik kerana ia bercirikan akaun simpanan, membolehkan pelanggan membuat pengeluaran tunai pada bila-bila masa.

“Susulan pelancaran Al-Awfar Baharu pada 16 April 2019, akaun ini menyediakan “Lebih Hadiah, Lebih Peluang, Lebih Pemenang”. Hanya pada tahun ini, jumlah nilai hadiah dipertingkatkan dari­pada RM10 juta kepada le­bih RM14 juta. Hadiah-hadiah yang terlibat turut merangkumi kereta, pakej umrah dan percutian, wang tunai dan gajet,’’ katanya pada majlis Cabutan Jutawan dan Cabutan Khas susulan pelancaran akaun pelaburan Al-Awfar baharu di Pusat Mercedes-Benz, Kinrara, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir Ketua, Deposit dan Pengurusan Tunai Bank Islam, Mohd. Noor Jab.

Akaun Al-Awfar merupakan akaun pelaburan berisiko rendah yang berdasarkan konsep Mudarabah, yang mana dananya dilaburkan dalam portfolio Pembiayaan Perumahan dan Aset Tetap sedia ada bagi memastikan pelaburan yang kukuh.

Terdahulu Mohamed Iran dan Mohd. Noor menyampaikan hadiah kepada enam pemenang Kempen Al-Awfar melibatkan hadiah wang tunai RM1 juta bagi Kategori Cabutan Jutawan dan lima unit kereta yang terdiri daripada sebuah Mercedes C200 Avantgarde dan empat unit Honda Civic 1.5TC-P.

Ikmal Zikri Smail memena­ngi cabutan RM1 juta manakala Hamidon Rosimon meraihkan hadiah cabutan khas Mercedes C200 Avantgarde.

Ahmad Najmi Ismail, Dr. Saedah Siraj, Shazlil Faqiq Mohamad Sabri dan Datuk Mohd. Razi Yaacob pula masing-masing menerima hadiah cabutan khas Honda Civic 1.5TC-P.

Mohamed Iran berkata, menerusi akaun Al-Awfar baharu, seramai lebih 10,000 pemenang bakal memenangi hadiah lebih lumayan berban­ding­ 628 hadiah setahun yang disediakan se­belum ini.

“Penganjuran Kempen Al-Awfar merupakan satu wadah bagi Bank Islam menzahirkan penghargaannya di atas sokongan para pelanggan se­lama ini di samping menyediakan produk dan perkhidmatan patuh syariah yang memenuhi keperluan mereka,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas