Berita

Jangan biar pelajar sekolah tertekan

GAMBAR hiasan
- Diterbit 26 September 2019 10:21 AM MYT

KEHADIRAN jerebu memberikan cabaran kepada calon-calon peperiksaan awam. Kabut asap yang melemaskan itu menambah­kan resah para pelajar. Selepas UPSR, giliran pelajar sekolah agama pula menduduki peperiksaan.

Selepas ini bakal di­ikuti PT3, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Namun peperiksaan tersebut bukanlah kayu ukur mutlak ke­cemerlangan para pelajar ke­rana sistem taksiran sendiri di peringkat sekolah lebih diutamakan.

Sistem pendidikan kini tidak lagi mahu berorientasikan peperiksaan. Namun sejauh mana pihak sekolah dan ibu bapa mengambil serius soal ini.

Ini kerana skor A masih terus menjadi buruan hingga kadang-kadang memberikan tekanan kepada pelajar.

Keputusan terbaik peperiksaan masih menjadi keperluan untuk menentukan pelajar dapat menyambung pengajian ke sekolah-­sekolah terbaik termasuk sekolah berasrama penuh.

Masih ada kecenderungan pihak sekolah termasuk sekolah agama bagaikan terlalu taksub untuk mencapai mumtaz atau cemerlang hingga terpaksa mengadakan program ‘kepung’ bagi pelajar yang mengambil peperiksaan sehingga hari terakhir sebelum peperiksaan.

Tanpa menghirau soal jerebu atau cuti hujung minggu, guru-guru masih terus ‘pulun’ mengasak pelajar dengan kelas tambahan.

Soalnya masih relevankah program kepung sedemikian? Tidak cukupkah tempoh waktu selama sembilan bulan untuk memastikan pelajar dapat menguasai pelajaran.

Tanpa menafikan keikhlasan para guru untuk memberikan sentuhan terakhir dan memberikan amanat terakhir, saat hari terakhir sebelum peperiksaan perlu dijadikan sebagai tempoh bertenang.

Jalanilah kehidupan seperti biasa. Ini juga dapat melatih pelajar agar membuat persediaan dari awal dan bukannya membuat pecutan pada saat akhir hingga akhir­nya mereka sendiri tertekan dan stres.

Dengan segala persediaan itu, barulah diiringi dengan doa, solat hajat dan tawakal.

Selamat berjaya.

Kepada pada ibu bapa, janganlah menganggap peperiksaan satu-satu nya jalan untuk anak-anak berjaya. Kecemerlangan diri perlu diukur sejauh mana seseorang itu berjaya dibentuk menjadi insan kamil.

Ilmu pengetahuan hanya akan benar-benar bermanfaat jika ia mampu membentuk sese­orang menjadi lebih manusiawi dan bukannya sekadar burung kakak tua, hanya mampu mengulangi atau mengajuk apa yang didengar dan dihafal.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas