Berita

Bank Islam jana sukuk RM21.02 bilion

Pengerusi BHB, Tan Sri Ambrin Buang (kanan) menerima Anugerah Membina Kepercayaan 2019 oleh PwC yang diserahkan oleh Nadiah Wan (tengah) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pengerusi BHB, Tan Sri Ambrin Buang (kanan) menerima Anugerah Membina Kepercayaan 2019 oleh PwC yang diserahkan oleh Nadiah Wan (tengah) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 2 Ogos 2019 3:14 AM MYT

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam), anak syarikat milik penuh BIMB Hol­dings Bhd. (BHB) buat julung-julung kalinya muncul di kedudukan teratas dalam jadual liga Sukuk Global Bloomberg pada separuh pertama tahun ini berbanding kedudukan ke-27 pada hujung tahun 2018.

“Ia meraih 17.31 peratus daripada penguasaan pasaran Sukuk Global, setelah berjaya mengatur beberapa perjanjian utama yang menjana sukuk berjumlah AS$ 5.15 bilion (RM21.02 bi­lion),’’ kata BHB dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Kenyataan itu berkata, buat kali pertama juga, Bank Islam mendahului jadual liga Pasaran Modal Malaysia Bloomberg dalam kategori Terbitan Bon Malaysia dan Sukuk Ringgit Malaysia pada separuh pertama tahun ini Tambah kenyataan itu, sehingga 30 Jun lalu, penguasaan pasarannya dalam Bon Malaysia dan Sukuk Ringgit Malaysia masing-masing berada pada kadar 34.71 peratus dan 38.28 peratus.

Dalam pada itu, kenyataan itu memberitahu, BHB baru-baru ini dipilih sebagai 20 finalis dalam Anugerah Membina Kepercayaan 2019 oleh PwC Malaysia.

“Ia adalah satu anugerah yang mengiktiraf syarikat-syarikat Malaysia yang mengambil langkah dalam membina kepercayaan melalui komunikasi dan interaksi mereka dengan pihak-pihak berkepentingan.

“Pemilihan berkenaan dibuat berdasarkan kualiti Laporan Tahunan Bersepadu BHB yang dibandingkan dengan Rangka Kerja Majlis Pelaporan Bersepadu Antarabangsa (IIRC) serta ukuran persepsi amanah melalui penilaian terhadap kepercayaan kepimpinan dan undi orang ramai.

“Tiada penghantaran penyertaan atau pencalonan yang diterima untuk anugerah ini,’’ katanya.

Tambah kenyataan itu, BIMB Investment Management Bhd. (BIMB Investment), sebuah syarikat pengurusan dana Islam sepenuhnya dan anak syarikat milik penuh Bank Islam yang menyediakan produk dan perkhidmatan pelaburan syariah bercirikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kepada pelabur individu dan korporat, juga menerima penghormatan sebagai Pengurus Aset ESG Terbaik sempena Anugerah Kewangan Islam The Asset Triple A 2019.

‘’Anugerah ini adalah sebagai peng­iktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian penting BIMB Investment dalam elemen ESG, kelestarian dan pengurusan aset di rantau Asia,’’ kata kenyataan itu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas