Berita

Banjir: Jumlah mangsa di Terengganu dan Kelantan kekal 39 orang pagi ini

- Diterbit 9 Disember 2020 2:22 AM MYT

KEADAAN banjir yang melanda pantai timur Semenanjung tidak berubah pagi ini, tanpa penambahan bilangan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Pasir Mas kekal 30 orang sehingga 8 pagi ini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Mas Azizan Aziz berkata, kesemua mangsa terdiri daripada enam keluarga termasuk seorang bayi lelaki dan seorang bayi perempuan ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan Tok Deh, Pasir Mas.

“Kesemua mangsa masih kekal berada di PPS berikutan penempatan mereka masih digenangi air, disebabkan banjir termenung memandangkan kediaman mereka berada di tempat yang rendah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat 8 pagi tadi menunjukkan, Sungai Golok di Rantau Panjang kini surut di paras waspada iaitu pada bacaan 7 meter (m) (waspada 7m), sementara cuaca di Kelantan pagi ini cerah tanpa hujan.

Di TERENGGANU, situasi banjir juga tidak berubah dengan hanya sembilan orang daripada empat keluarga masih berada di satu PPS, iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang di Marang, setakat 8 pagi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, penilaian semula akan dibuat pagi ini sama ada mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

“Air termenung sudah pun surut petang semalam dan cuaca bertambah baik hari ini. Penilaian seterusnya akan dibuat sama ada untuk membenarkan pulang dan menutup PPS secara rasmi dalam masa terdekat,” tambahnya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas