Berita

Beri kerjasama, elak Seri Petaling kedua – Annuar

WARGO kota tidak dibenarkan keluar sempadan negeri untuk pulang ke kampung. Gambar hiasan
- Diterbit 14 April 2020 8:23 AM MYT

PUTRAJAYA – Tan Sri TPr. Annuar Musa menggesa penduduk sekitar Masjid India yang menjadi lokasi baharu Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) hari ini, memberi kerjasama sepenuhnya dan tetap di lokasi yang diduduki bagi mengelakkan pertambahan kes jangkitan Covid-19 seperti Seri Petaling (Kluster Tabligh)

Ini kerana, ujar Menteri Wilayah Persekutuan, 1,850 kes yang dicatatkan di kawasan Seri Petaling disebabkan peserta yang menghadiri himpunan bergerak ke negeri lain sehingga menyebabkan penularan wabak berkenaan.

Sehubungan itu, jelas beliau, PKPD dilaksanakan di sekitar Masjid India termasuk enam jalan di sekitarnya iaitu Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang bagi mengawal pergerakan penduduk atau pekerja di kawasan tersebut sekali gus mengelakkan penularan wabak.

“Tugas kita makin bertambah dan ini satu perkara yang tidak mudah bila PKPD dilaksanakan di tengah pusat bandar sperti ini, jadi pohon kerjasama (penduduk sekitar). Sementara di peringkat awal, kita mesti pastikan ini tidak jadi Seri Petaling kedua. Mereka berhimpun, sebelum dimaklumkan mereka yang hadir itu sudah berterabur pergi ke merata negeri termasuk luar negara.

“Kesannya Seri Petaling mencatatkan 1,850 kes. Ambil pengalamn itu, kita nak pastikan di Masjid India ini, walaupun kes meningkat tetap dapat dikawal. Di City One Plaza, 39 kes positif, Selangor dan Malayan Mansion dari 15 kes menjadi 88 kes,” katanya dalam siaran langsung di Facebook rasminya hari ini.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKN WP) menyatakan bahawa tindakan segera termasuk menambah petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dilakukan untuk memastikan penularan wabak Covid-19 menjadi lebih baik.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan supaya petugas di kawasan PKPD berkenaan mengenakan peralatan pelindungan diri (PPE) sepenuhnya dan lokasi terlibat di bawah PKPD dikawal sehingga 28 April ini.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri memaklumkan enam kawasan di ibu negara diletakkan di bawah PKPD bermula esok sehingga 28 April nanti. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas