Atlet Wilayah

Bangkit daripada kekecewaan, Hoe Yean sedia beraksi di Doha Februari ini

AKSI Hoe Yean ketika Sea Games 2023 di Kemboja
- Diterbit 19 Januari 2024 10:50 AM MYT

JAGUH renang negara, Khiew Hoe Yean berazam untuk berusaha keras dan melakukan yang terbaik pada Kejohanan Akuatik Dunia 2024 di Doha, Qatar yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 18 Februari ini.

Berbaki kurang sebulan menjelang kejohanan berkenaan, Hoe Yean berikrar menjadikan pertemuan di Doha itu sebagai batu loncatan buatnya untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

“Saya akan beraksi pada acara kegemaran iaitu 400 meter (m) gaya bebas lelaki di Aspire Dome dan perlu berenang di bawah 3 minit 46.78 saat (s), masa kelayakan Olimpik bagi acara itu.

“Sekiranya gagal berbuat demikian di Doha, saya akan tetap mencuba untuk menempah tiket sekali gus membuat penampilan sulung di Paris 2024 menerusi pertandingan lain sebelum kelayakan Olimpik berakhir pada 23 Jun,” ujarnya.

Dalam masa sama, atlet berusia 21 tahun itu juga berhasrat untuk memadam catatan peribadi terbaiknya iaitu 3:48.72s yang juga rekod kebangsaan dilakar pada Kejohanan Dunia 2022 di Budapest, Hungary.

“Saya mahu memecahkan rekod peribadi terbaik kerana merasakan saya perlu ke tahap lebih tinggi untuk berjaya. Saya telah bekerja keras dalam semua perkara untuk memperbaiki diri seperti teknik dan catatan masa (dalam latihan),” ujarnya.

Selain itu, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu turut memaklumkan dia sudah bangkit daripada kekecewaan ketika Sukan Asia Hangzhou 2022 apabila ketinggalan hanya beberapa saat untuk merangkul pingat gangsa pada pusingan akhir.

“Kini saya berada dalam prestasi yang jauh lebih baik selepas kembali daripada membuat penampilan pertama pada Sukan Asia September tahun lalu,” ujarnya.

Baru-baru ini, pelajar bidang sains komputer di Universiti UCSI itu mengukuhkan statusnya sebagai satu daripada prospek terbaik Malaysia dengan memecahkan rekod kebangsaan 1,500m gaya bebas lelaki pada Kejohanan Queensland di Australia.

Hoe Yean yang muncul sebagai kedua terbaik pada final, melakar 15:21.92s untuk memadamkan catatan terdahulu 15:23.61s yang direkodkan Jeffry Ong pada tahun 1991. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas