Berita

Pan Gon, barisan pemain santuni peminat istimewa Harimau Malaya

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 18 Januari 2024 11:35 PM MYT

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Itulah pepatah untuk menggambarkan tuah penyokong istimewa skuad Harimau Malaya Muhammad Ridzwan Erman Effendi yang cacat penglihatan apabila berpeluang berjumpa Ketua Jurulatih Kim Pan Gon dan barisan pemain negara di hotel penginapan pasukan di sini, hari ini.

Lebih manis, Muhammad Ridzwan, 27, yang dilahirkan buta disantuni pemain kegemarannya iaitu pemain sayap sensasi Mohamad Faisal Abdul Halim dan Arif Aiman Mohd Hanapi serta pemain pertahanan tengah Mohd Shahrul Mohd Saad sebelum mereka ke padang bagi menjalani sesi latihan.

Turut menyantuni pemuda dari Batu Gajah, Perak itu yang hadir bersama abangnya Raff Iskandar Erman Effendi, ialah Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalannya Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

“Saya tak pernah terfikir akan dapat peluang macam ini, saya tak tahu nak cakap apa. Cuma saya nak ingatkan bahawa orang nak tengok Malaysia menang tapi saya nak dengar Malaysia menang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Kisah mengenai dua beradik itu tular di media sosial minggu ini yang mengetengahkan pengorbanan seorang abang yang sanggup membawa adiknya yang cacat penglihatan terbang ke Qatar bagi memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya pada saingan Piala Asia 2023 di sini.

Raff Iskandar, 31, dan Muhammad Ridzwan tiba di Qatar Isnin lepas dan bercadang untuk menyaksikan ketiga-tiga perlawanan Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E bertemu Jordan (awal pagi Selasa lepas), Bahrain, Sabtu ini dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Jan.

Mereka berdua antara ribuan peminat pasukan kebangsaan yang berada di Qatar ketika ini.

Pasukan negara yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia, menyasarkan untuk mencipta sejarah layak ke pusingan 16 terbaik selepas Malaysia terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga penampilan sebelum ini.

Malaysia dan Bahrain kini berada di posisi terbawah dalam aksi Kumpulan E selepas kedua-duanya tewas pada perlawanan pertama. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas