Wanita sesak nafas, dibawa turun dari Bukit Besi
MANGSA yang mengalami sesak nafas di atas Bukit Besi diusung turun oleh Bomba. - Foto: Ihsan Bomba

Wanita sesak nafas, dibawa turun dari Bukit Besi

JABATAN Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur membantu menurunkan seorang wanita yang mengalami sesak nafas ketika mendaki Bukit Besi, Sungai Besi-Alam Damai, Cheras di sini pagi tadi.

Komander Operasi Kanan JBPM Kuala Lumpur, Mohd Fahmi Abd Rahim berkata, operasi tersebut dibantu 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras serta BBP Bandar Tun Razak.

“Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.38 pagi tadi. Setiba di lokasi, kami mendapati mangsa yang berusia 23 tahun sesak nafas.

“Mangsa berada di ketinggian 291 meter sebelum anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberi rawatan awal untuk menstabilkan mangsa di atas puncak. Dia kemudian dibawa turun menggunakan pengusung,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Fahmi, anggota menurunkan mangsa sejauh 244 meter sebelum sampai ke kaki bukit disebabkan struktur jalan yang berbukit dan curam.

“Mangsa selamat dibawa turun pada pukul 12.52 tengah hari sebelum dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk rawatan lanjut,” katanya. – WILAYAHKU

WANITA berusia 23 tahun diberi bantuan awal selepas mengalami sesak nafas ketika mendaki Bukit Besi pagi tadi. – Foto: Ihsan Bomba

 

CATEGORIES