Berita

Baiki segera tanah mendap Flat PKNS

BEGINILAH keadaan kerosakan jalan ekoran kejadian tanah mendap di Flat PKNS, Kampung Baru.
- Diterbit 26 Oktober 2019 8:11 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memanggil Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) untuk memeriksa dan menilai keadaan struktur tanah di rumah Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kampung Baru di sini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan berkata tindakan segera itu diambil pihaknya setelah mengadakan lawatan mengejut ke kawasan berkenaan baru-baru ini.

“Memang bangunan nampak macam ‘okay’ tapi kita perlu pastikan ia benar-benar selamat demi keselamatan penduduk.

“Selain itu, DBKL juga akan melakukan kerja-kerja pembaikan di jalan-jalan yang merekah sehingga berlakunya mendapan dan juga berlubang bermula esok,” katanya kepada pemberita.

Kata Nor Hisham lagi, terdapat kemungkinan banjir yang berlaku berpunca daripada projek menambah baik dan pembesaran rancangan tebatan banjir bersebelahan flat berkenaan.

“DBKL akan sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Perparitan Saliran (JPS) untuk menyelasaikan masalah tersebut dengan segera.

“Bagi menyelesaikan masalah banjir pula, kita meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meletakkan pam sementara yang lebih besar di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Mohd. Sahak Surip berkata, pihaknya akan menjalankan kerja-kerja baik pulih segera seperti yang di arahkan Datuk Bandar.

“Kita akan memohon penilaian dari Ikram yang jumlahnya kira-kira RM20,000 yang akan ditanggung sepenuhnya oleh DBKL.

“Selain itu, keadaan jalan yang rosak akibat mendapan tanah itu akan dibaiki dengan segera oleh pihak DBKL dan kos anggaran dijangka kira-kira RM50,000 akan ditanggung oleh DBKL,” katanya.

Tambah Mohd. Sahak, pihaknya menjangkakan mengambil masa kira-kira satu minggu untuk menyelesaikan sepenuhnya kerja-kerja membaiki struktur jalan yang dianggarkan kira-kira 70 meter.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari telah mengarahkan PKNS untuk membuat kajian mengenai insiden tanah mendap di kawasan perumahan itu.

“Saya sudah arahkan PKNS untuk segera dapatkan hasil kajian, sebagaimana yang berlaku di Ulu Klang tempoh hari. Mereka akan turun dengan kadar segera dan kos kajian akan mereka tanggung,” katanya.

Tambah Amirudin, pihaknya masih belum menerima laporan lengkap berhubung insiden itu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas