Berita

Tiga laluan baharu GoKL 2020

KHALID (kiri) menaiki bas selepas merasmikan laluan baharu perkhidmatan bas Go KL di Stesen bas LRT Datuk Keramat di sini
- Diterbit 26 Oktober 2019 8:08 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Menyedari manfaat perkhidmatan bas percuma, GoKL kepada warga kota, kerajaan berhasrat menambah tiga laluan baharu pada tahun hadapan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, perancangan penambahan laluan itu dilakukan selepas pihaknya mendapati perkhidmatan GoKL berkesan dan memberi manfaat kepada warga wilayah.

“Kita akan berusaha untuk tambah lagi dua atau tiga laluan pada tahun hadapan supaya ramai dapat manfaat perkhidmatannya.

“Ia juga sejajar dengan matlamat untuk mengurangkan bilangan kenderaan dan mengelak kesesakan lalu lintas sekali gus menyumbang kepada udara yang bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Laluan Baharu Biru Firus dan Aplikasi GoKL di Stesen Bas Transit Aliran Ringan (LRT) Datuk Keramat di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Mengulas lanjut, Khalid memberitahu, bagi laluan baharu itu, kajian sewajarnya akan dilakukan supaya matlamat untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) tercapai.

“Laluan yang kita akan wujudkan ini bukan saja nak tambah jumlah tetapi untuk memudahkan warga kota ke stesen dan tempat kerja. “Oleh itu, tumpuan perkhidmatan adalah di kawasan perumahan dan stesen,” jelasnya.

Menurut Khalid, sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk penambahan laluan dan jumlah bas pada tahun ini iaitu laluan keenam (jingga) dan ketujuh (biru firus) yang meliputi LRT Universiti – Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta LRT Datuk Keramat-Setiawangsa.

“Tahun hadapan kita akan kekalkan RM20 juta itu dan menambah bilangan bas, setiap laluan akan tambah bilangan bas kepada lima atau enam buah supaya bas dapat berulang dalam tempoh 10 minit.

“Kita akan tambah kepada 10 laluan pada tahun hadapan yang mana ia mungkin meliputi Ampang, Sentul, Cheras dan sebagainya,” jelasnya yang turut menyasarkan perkhidmatan melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR), insitutusi pengajian, universiti dan pejabat kerajaan.

Terdahulu, pada majlis itu, Khalid turut mengumumkan laluan baharu perkhidmatan GoKL berwarna biru firus untuk laluan ketujuh iaitu Hab LRT Datuk Keramat ke Kelumpuk Bambu, Setiawangsa dan melancarkan aplikasi mudah alih GoKL.

Jelas beliau, dengan adanya aplikasi GoKL itu, warga kota dapat mengetahui maklumat perjalanan perkhidmatan dengan lebih terperinci termasuk laluan dan tempoh masa bas akan tiba di lokasi hentian.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma. Untuk di perhentian bas pula, pengguna akan mendapat maklumat di mana bas yang dikehendakinya berada dan berapa minit lagi akan sampai,” katanya.

Mengulas lanjut, Khalid memberitahu, pada masa ini, aplikasi tersebut boleh dimuat turun oleh pengguna telefon Android menerusi Google Play manakala pengguna IOS akan tersedia dalam masa terdekat.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas