Asia Innovates 2019 tampil 14 inovasi penyelidik

Asia Innovates 2019 tampil 14 inovasi penyelidik

CYBERJAYA – Asia Innovates 2019 anjuran Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Royal Academy of Engineering (RAEng), United Kingdom (UK) baru-baru ini berjaya menampilkan 14 inovasi penyelidik terbaik yang dipilih daripada tujuh buah negara untuk dibentangkan di hadapan pelabur dan institusi kewangan dari Malaysia dan Asia di sini.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Datuk Dr. Mohd Yusoff Sulaiman berkata, inovasi itu bakal diketengahkan kepada syarikat pelaburan yang berminat dan institusi kewangan untuk tujuan pembiayaan dan fasilitasi bagi membolehkan ia mampu dikomersialkan di pasaran tempatan dan global.

Menurut beliau, program tiga hari bermula pada 15 Oktober lalu itu memberi peluang kepada lebih 150 penyelidik Asia melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan menimba lebih banyak ilmu pengetahuan dalam bidang berpotensi tersebut.

“Asia Innovates 2019 dapat memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan rangkaian di peringkat antarabangsa mengukuhkan keyakinan para penyelidik ini berjaya dalam bidang keusahawanan.

“Ia juga merupakan suatu platform strategik untuk mengeratkan ekosistem inovasi dan keusahawanan negara serta serantau.

“Penglibatan institusi kewangan, agensi kerajaan dan pihak swasta penting bagi memastikan pelaburan daripada pihak kerajaan dalam membangunankan inovasi dalam kalangan penyelidik dapat dikomersilkan seterusnya dipasarkan di persada antarabangsa,” katanya.

Asia Innovates 2019 berlangsung di Hotel Le Meridean, Putrajaya merupakan anjuran MIGHT dengan kerjasama Royal Academy Engineering (RaENG) UK dengan dibantu rakan strategik seperti CIMB Islamic, Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC), Yayasan Usahawan Baharu (MyNEF), Beta-Foundation dan Persatuan Pengurus Inovasi dan Teknologi (ITMA).

Program tahunan yang menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah kali ini turut disertai rakan strategik dari China, India, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

CATEGORIES