Auto

Bahu jalan, rizab sungai antara lokasi tanam pokok

SELAIN memenuhi sasaran 1 juta pokok, ia turut memperindahkan kawasan Taman Tasik Ampang Hilir.
- Diterbit 28 November 2021 3:00 AM MYT

PROGRAM Penghijauan Malaysia yang meletakkan sasaran 100 juta pokok di seluruh negara merupakan inisiatif terbaik dalam memulihara kelestarian alam
sekitar dan membantu mencapai hasrat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti yang dirancang melalui Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala
Lumpur 2030.

Pengarah Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi (JPLR) L.Ar Zulkifli Endut berkata, pihaknya telah membuat perancangan penanaman pokok di kawasankawasan yang strategik bagi memenuhi hasrat Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) untuk mencapai sasaran 500,000 batang pokok yang ditanam di sekitar bandaraya ini.

“Kami telah mengenal pasti lokasi antaranya di 19 taman-taman awam DBKL dan kawasan-kawasan lapang yang telah diwartakan.

“Selain itu, 400 kawasan taman permainan kanak-kanak di bawah seliaan DBKL, kawasan bahu jalan yang bersesuaian, kolam takungan banjir dan rizab sungai
serta kawasan pemajuan milik persendirian juga akan dijadikan lokasi tanaman pokok di Kuala Lumpur,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.

Menjelas lanjut, melalui program Penanaman 1 Juta Pokok di Wilayah Persekutuan, terma ‘pokok’ adalah selaras dengan kempen Penghijauan Malaysia iaitu
‘meliputi semua jenis pokok yang  merupakan tumbuhan berkayu yang mempunyai akar, batang, dahan dan daun’.

“Berdasarkan definasi ini, kriteria pokok yang dihitung kira termasuk dari spesis pokok renek/ bunga berkayu, pokok teduhan, pokok hutan dan pertanian yang
mempunyai jangka hayat yang lama. Pemilihan spesis pokok adalah mengikut kesesuaian tempat penanaman.

“Contohnya spesis pokok hiasan/berbunga dan pokok teduhan akan ditanam di sekitar jalan utama pusat bandar serta kawasan tumpuan seperti taman-taman
awam manakala dari spesis ‘indegenous’ seperti pokok hutan dan nadir akan ditanam kawasan lapang, rizab sungai serta kolam takungan bersesuaian,” katanya.

Menurut Zulkifli, kawalan terhadap kesesuaian penanaman pokok bermula dari peringkat awal sebelum penananam dibuat.

“Kesesuaian lokasi dan pemilihan spesis bersesuaian merupakan faktor penting bagi kejayaan penanaman. DBKL akan menetapkan lokasi penanaman serta spesis tertentu sebelum program penanaman dilakukan.

“Selain itu, pemantauan ketika proses penanaman juga perlubagi memastikan cara penanaman dilakukan dengan betul. Selepas penanaman dilakukan, tempoh
penyelenggaraan minimum selama enam bulan perlu sebelum serahan sepenuh kepada DBKL,”  katanya.

Zulkifli berkata, DBKL menganggarkan akan membelanjakan kos sekitar RM4 juta bagi tempoh lima tahun, dari tahun 2021 sehingga 2025 untuk mencapai sasasan penanaman yang ditetapkan.

“Kos yang diperuntukkan merangkumi pembekalan dan penanaman pokok, penyelenggaraan, pelaksanaan program, promosi serta kempen kepada komuniti,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengurangkan pergantungan peruntukan daripada kerajaan, pihaknya turut menggerakkan inisiatif lain termasuk menggalakkan penyertaan agensi luar, syarikat korporat, NGO dalam kempen penanaman ini.

“DBKL turut mengalualukan sumbangan dalam bentuk pemberian pokok atau penganjuran acara penanaman pokok daripada agensi luar, syarikat-syarikat swasta atau NGO yang berminat.

“Selain itu, syarikat swasta yang ingin memberikan sumbangan berbentuk dana juga boleh melalui Yayasan Hijau Malaysia (YHM) bagi memperoleh insentif seperti
pemotongan cukai dan sebagainya melalui kempen ini,” katanya.

Tambahnya, DBKL secara umumnya amat menggalakkan penglibatan komuniti dalam program ini selaras dengan objektif sebenar kempen.

“Bagi tahun 2021, kekangan kerana pendemik Covid 19 telah membataskan penganjuran melibatkan komuniti. DBKL khususnya, dari semasa ke semasa sepanjang tempoh lima tahun akan datang, berusaha menganjurkan program bersesuaian dengan memfokuskan aktiviti penanaman bersama komuniti agar matlamat
sebenar kempen Penghijauan Malaysia berjaya dicapai,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas