Auto

Kuala Lumpur komited jayakan Program 1 juta pokok

PROGRAM 1 juta pokok ini telah dirancang sepanjang tahun bagi mencapai sasaran yang ditetapkan dengan kerjasama daripada semua pihak termasuk syarikat korporat, ngo dan
- Diterbit 28 November 2021 1:00 AM MYT

PERJUANGAN untuk mempertahankan kelestarian alam semula jadi merupakan tugas berat dan mencabar terutama di dalam kawasan bandar yang berhadapan dengan masalah penyediaan kawasan hijau terutama di bandaraya yang pesat membangun seperti Kuala Lumpur.

Komitmen yang ditunjukkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku pentadbir bandaraya dalam meningkatkan kawasan hijau melalui penanaman pokok
merupakan sebahagian daripada inisiatif Kuala Lumpur Bandar Rendah Karbon yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) seperti yang dirangka oleh United Nations Human Settlement Programme (UNHabitat).

Kerajaan Persekutuan pada Januari lalu telah melancarkan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bertujuan mempertahankan kekayaan alam semula jadi negara
dalam semua aktiviti pembangunan sosioekonomi serta telah mengekalkan pengiktirafan ke atas Malaysia sebagai antara 12 negara ‘megadiverse’ disebabkan kejayaan dalam mengekalkan sebanyak 55.3 peratus litupan hutan dalam Sidang Kemuncak Bumi di Rio de jeneiro pada tahun 1992 dan kerajaan turut memastikan
rekod itu dipertahankan dan memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara dilitupi pokok dan kawasan hutan.

Pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok turut diadakan secara serentak di seluruh negara dengan tema ‘Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’ atau ‘Greening Malaysia: Our Trees, Our Life’.

Kempen Penanaman 100 Juta Pokok adalah sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia, satu daripada agenda nasional bagi perubahan iklim serta meningkatkan kualiti kehidupan rakyat sekaligus dapat memulihara kepelbagaian biologi yang menjadi khazanah yang tidak ternilai dan meningkatkan kualiti
persekitaran semula jadi dan sungai.

Program Penghijauan Malaysia juga merupakan satu ikrar dan komitmen kerajaan yang berlandaskan Wawasan Kemakmuran Bersama untuk menyumbang kehidupan yang lebih bernilai serta masa hadapan yang lebih hijau untuk generasi akan datang.

Penanaman 1 Juta Pokok di Wilayah Persekutuan adalah komitmen Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) terhadap Pelaksanaan Program tersebut melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Seluruh Negara anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Bagi menjayakan misi penanaman 1 Juta pokok ini, pihak KWP berikrar merealisasikan kempen tersebut bagi tempoh lima tahun bermula pada 2021 sehingga 2025 dan sasaran yang ditetapkan kepada DBKL sebanyak 500,000 pokok, Perbadanan Labuan (PL) 100,000 pokok dan Perbadanan Putrajaya (PPj) sebanyak 400,000 pokok.

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menanam pokok dalam salah satu program turun padang. 

Mendepani cabaran di bandaraya yang mempunyai populasi kira-kira 1.7 juta itu, DBKL melalui Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi (JPLR) telah
merangka pelan tindakan iaitu PROGRAM 1 juta pokok ini telah dirancang sepanjang tahun bagi mencapai sasaran yang ditetapkan dengan kerjasama daripada semua pihak termasuk syarikat korporat, ngo dan komuniti setempat.

Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030 yang antara lain untuk melaksanakan penanaman pokok teduhan dijalan-jalan yang dikenal pasti
dan berpotensi di sekitar Kuala Lumpur.

Selain itu, DBKL telah melaksanakan Program Penghijauan Bandaraya sejak dahulu lagi. Antara inisiatif-inisiatif yang telah dijalankan adalah seperti program penanaman secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama agensi luar, NGO dan Syarikat Korporat serta Penanaman Penggantian Pokok Rendang di seluruh Kuala Lumpur.

Selain itu, DBKL melalui JPLR menyasarkan penanaman pokok sebanyak 500,000 pokok bagi tempoh lima tahun dan rasional mengambil kira faktor ruang penanaman yang semakin berkurangan serta kesesuaian kawasan penanaman di seluruh Kuala Lumpur.

Ia akan dilaksanakan melalui lima kaedah iaitu projek pengindahan secara dalaman DBKL, program/acara Kempen Penanaman DBKL bersama agensi luar atau kerajaan, sumbangan pokok secara CSR, Program Taman Angkat ‘Signature Adoption Park’ di mana ia bergantung kepada permohonan dan pemajuan atau pembangunan kawasan persendirian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas