Berita

Azizan Osman kongsi lima perkara selepas setahun bertarung nyawa melawan COVID

DATUK Azizan Osman lebih menghargai kehidupan dan individu di sekelilingnya selepas bertarung nyawa dijangkiti COVID-19.
- Diterbit 18 Januari 2022 4:39 AM MYT

PAKAR motivasi terkenal, Datuk Azizan Osman menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman media sosialnya berkongsi lima perkara yang dipelajari selepas genap setahun bertarung nyawa melawan COVID-19 di atas katil Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.

Menceritakan pengalaman berperang dengan virus itu, Azizan berkata doktor pakar memaklumkan harapan untuk beliau survive amat tipis ekoran serangan COVID telah merebak ke dalam paru-parunya di samping tahap oksigen yang menurun.

Lebih memilukan jangkitan virus itu telah menyebabkan ibu mentuanya meninggal dunia pada 24 Januari tahun lalu di hospital yang sama.

“Apa yang saya belajar, hidup ini seluruhnya adalah ujian, Allah SWT boleh uji kita pada bila-bila masa sahaja tidak kira bersedia atau tidak dalam pelbagai bentuk. Kita perlu bersedia untuk menghadapinya dengan baik dan pantas.

“Setiap perkara ada proses. Contoh apabila saya dalam tempoh pemulihan, doktor pakar pesan kesembuhan mungkin ambil masa selama tiga hingga enam bulan. Pastikan saya makan makanan yang baik, tidur dengan cukup sedangkan masa itu susah hendak tidur dan banyakkan berehat daripada terlalu banyak berfikir atau stress kerana stres akan melambatkan proses pemulihan,” kata usahawan itu.

Selain itu, Azizan turut mempelajari erti menghargai kehidupan dan individu di sekelilingnya terutama pelajar dan orang ramai yang mendoakan dirinya ketika sakit.

AZIZAN turut memberi nasihat untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta atau menggunakan masa untuk membantu orang lain.

“Kehidupan sangat singkat dan apabila tiba masanya semua akan pergi jua, namun cepat atau lambat bukan urusan manusia. Ketika ada ruang dan peluang untuk melakukan perkara yang baik seperti membantu orang lain dengan kerja atau perniagaan dimiliki, rebut lah sebaiknya.

“Pelajaran kelima selagi belum mati jangan mengalah. Semua orang ada 24 jam yang sama. Kita hidup orang lain pun hidup. ‘Play big!’ dan apa perkara yang membuatkan saya ‘trigger’, ia mendorong saya untuk lebih berani ‘play big’.

“Saya melangkah menjadi antara pelabur utama dalam syarikat di Bursa Malaysia MPay Berhad dan banyak lagi tindakan lebih berani. Terima kasih kerana sentiasa doakan saya,” kongsinya menerusi hantaran di Facebook dan Instagram. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas