Berita

Saya akan umumkan bila sampai masanya – Shahidan

SHAHIDAN (tengah) meneliti pelan pembangunan di atas tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tujuan pembangunan parkir bertingkat, surau dan kawasan perniagaan untuk golongan muda di Jalan Kelang Lama di sini, hari ini.
- Diterbit 18 Januari 2022 7:54 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim akan mengumumkan keputusan untuk mengazetkan kolam tadahan di sekitar Kuala Lumpur pada satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Jelasnya, beliau tidak dapat memberikan jawapan tersebut memandangkan perkara itu tertakluk kepada proses undang-undang.

“Kita tidak boleh beri jawapan sekarang kerana kita sudah buat, Datuk Bandar dah panggil tender untuk buat ukuran.

“Saya akan umumkan bila sampai masanya. Kalau tuan-tuan hendak berpolemik sedikit di media sosial, boleh teruskan. Kita ada sesuatu yang diumumkan kerana kita telah buat,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan tapak parkir di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Anggerik dekat Jalan Kelang Lama di sini hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Menjelas lanjut, beliau tidak mahu membuat sebarang pengumuman kerana usaha tersebut masih dalam proses.

“Bila saya umum nanti, dalam seminggu lagi, saya sudah ada fakta-fakta untuk dijawab.

“Hendak bersuara (mengenai perkara itu) boleh, tidak ada masalah, tetapi untuk buat kerja ini kita ada masalah sikit kerana kena ikut satu proses undang-undang,” katanya.

Shahidan sebelum ini dilaporkan akan memberikan jaminan untuk mempertahan dan memastikan kolam tadahan di Kuala Lumpur akan dipelihara daripada sebarang projek komersial dan memastikan tiada sebarang usaha untuk menukarkan status untuk pelaksanaan projek pembangunan, yang bertentangan dengan matlamat sebenar keperluan kolam terbabit.

Dalam lawatan tersebut, Shahidan akan mempertimbangkan pembangunan surau bagi kegunaan penduduk di PPR Seri Anggerik dan parkir bertingkat bagi menampung pertambahan kenderaan penduduk di kawasan itu serta 10 unit kedai untuk usahawan muda. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas