Artikel

Putrajaya perlu kekal tenang

SALAH satu mercu tanda Putrajaya. - Gambar hiasan
- Diterbit 10 Januari 2020 4:45 AM MYT

TAHUN 2020, genap 25 tahun terbinanya Putrajaya sebuah bandar baharu yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Dari sebuah ladang Prang Besar yang diliputi tanaman sawit dengan bilangan penduduk yang mungkin hanya terdiri daripada pekerja estet, kini dihuni raturan ribu penduduk.

Meskipun sebelum ini, rancangan untuk memindahkan pusat pentadbiran kerajaan Pusat, beberapa lokasi telah disenarai pendekkan.

Tiada siapa me­nyangka kawasan ladang tersebut menjadi pilihan. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Perdana Menteri buat kali pertama dianggap arkitek pembangunan Putrajaya.

Kini sempena sambutan Jubli Perak Putrajaya, Dr. Mahathir ditakdirkan masih kekal menerajui tampuk pemerintahan negara.

Sudah tentu ia memberikan signifikan tersendiri kerana Dr. Mahathir dapat melihat perubahan demi perubahan kemajuan Putrajaya. Beliau boleh menilai sama ada ia dibangunkan mengikut perancangan yang ditetapkan atau sebaliknya.

Kewujudan Putrajaya dari satu sudut sebenarnya berjaya menaikkan motivasi kakitangan awam apabila di Putrajaya mereka menikmati kemudahan tempat kerja dan rumah yang bertaraf kelas pertama.

Tidak dapat dibayangkan jika kakitangan kerajaan masih terpaksa menghuni di kuarters lama di ibu kota dan bersesak untuk ke pejabat.

Malah orang ramai juga mendapat perkhidmatan yang kondusif apabila berurusan di agensi-agensi berkaitan di Putrajaya.

Putrajaya dikenali dengan jolokan bandar dalam taman. Landskap menarik dengan ele­men tasik menggamit setiap pengunjung termasuk pelancong luar negara.

Tidak hairanlah langkah Malaysia memindahkan pusat pentadbiran turut diikuti beberapa negara seperti Myanmar dan Indonesia. Ini bermakna Malaysia melangkah lebih jauh ke hadapan.

Namun setelah hampir tiga dekad, Putrajaya harus kekal menjadi sebuah bandar yang tenang untuk dihuni. Bertambah­nya jumlah bangunan kerajaan, bangunan komersial dan projek perumahan diharap tidak menjadikan Putrajaya sebuah bandar yang sesak seperti Kuala Lumpur.

Ramai individu memilih untuk tinggal di Putrajaya kerana wujudnya ketenangan dan bebas daripada gejala sosial seperti pusat hiburan.

Dengan misi menjadi bandar pintar, kita harap bandar ini akan terus mengekalkan sifatnya sebagai bandar yang selamat, tenang dan hijau.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas