Berita

ATM beras lebih telus, memudahkan

PENGGUNA hanya perlu menadahkan beg bersesuaian untuk mendapatkan beras.
- Diterbit 11 September 2021 1:00 AM MYT

JIKA sebelum ini mesin juruwang automatik atau lebih dikenali sebagai ATM berfungsi untuk mengeluarkan wang, kini konsep yang sama diguna pakai untuk memudahkan golongan miskin mendapatkan bekalan beras.

Dikenali sebagai ATM beras, mesin berkenaan membolehkan individu memerlukan mendapatkan beras tanpa melalui kerenah birokrasi yang diletakkan di ruang legar RumahPrihatin@ GrandSeasons.

JUMIATI SADI

Bagi Jumiati Sadi, 55, mesin ATM beras yang disediakan itu memberi kemudahan kepada golongan sepertinya untuk mendapatkan bekalan beras dengan hanya mengimbas kad pengenalan diri di ruangan yang terdapat di mesin tersebut.

“Sebelum ini kita hanya lihat mesin ATM yang mengeluarkan duit sahaja tetapi kali ini saya dapat melihat mesin ATM pertama di Wilayah Persekutuan yang mengeluarkan beras.

“Prosesnya pula sangat mudah kerana kami hanya perlu bawa kad pengenalan dan meletakkannya di satu ruangan untuk diimbas dan beras sebanyak limakilogram akan keluar di saluran yang disediakan,’’ katanya kepada Wilayahku ketika ditemui baru-baru ini.

Dia yang juga ibu tunggal berkata, proses pemberian sumbangan menggunakan mesin seperti itu lebih sesuai jika dilaksanakan secara berperingkat atau menggunakan sistem penentuan masa.

“Inisiatif ini sangat mudah dan cepat tetapi ia lebih sesuai jika diberikan secara berperingkat atau tetapkan masa seperti pukul 9 pagi hingga 1 petang atau 2 petang hingga 6 petang untuk warga kota mengambil beras tersebut.

“Dengan cara itu, ia dapat mengelakkan kesesakan atau berebut sekali gus mengurangkan penularan jangkitan COVID-19. prosedur operasi standard (SOP) lebih terjaga,” katanya.

Tambahnya yang juga terkesan dalam tempoh getir ini, kos sara hidup tinggi dan masalah pandemik yang belum selesai menyebabkan ramai masyarakat kehilangan sumber pendapatan serta memerlukan bantuan untuk meringankan beban demi kelangsungan hidup.

“Gaji saya telah dipotong dan kini amat mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak untuk menyara anak-anak. Kalau boleh biarlah bantuan sentiasa ada kerana kita semua tidak pasti sehingga bila pandemik akan berlaku.

“Bantuan beras dan barangan keperluan asas yang diberikan Rumah Prihatin sedikit sebanyak meringankan beban saya untuk beberapa minggu,’’ katanya.

Mohd Razali Samat

ATM BERAS LEBIH MUDAH, SESUAI NORMA BAHARU

Sementara itu, Mohd Razali Samat, 59, berkata, kaedah pemberian beras menggunakan mesin berkenaan sesuai digunakan dalam keadaan pendemik berikutan ia dapat mengelakkan risiko sentuhan yang boleh menyebabkan jangkitan COVID-19.

“Keadaan semasa ini menyebabkan ramai masyarakat takut akan virus yang cepat merebak dan sukar dikenal pasti. Oleh itu, Rumah Prihatin telah mengambil langkah terbaik untuk membantu rakyat.

“Mesin ini sangat memudahkan kami untuk mendapatkannya sekali gus meringankan beban warga kota yang memerlukan untuk memperoleh bantuan beras dalam keadaan terdesak,” luahnya.

Bagaimanapun, Razali berharap agar usaha ini dapat diperluaskan bukan hanya memfokuskan kepada pihak tertentu tetapi kepada setiap masyarakat.

“Saya berharap agar pihak tertentu lebih cekap dalam mengenal pasti keadaan dan status rakyat supaya bantuan tidak disalah gunakan. Wujudkan lebih banyak penerima insentif ini dengan menggunakan maklumat dan data daripada persatuan penduduk supaya ia boleh dinikmati oleh mereka yang amat memerlukan,” katanya.

Aziah Tabiat,

Dalam pada itu, warga emas Aziah Tabiat, 74, mengharapkan agar bantuan ATM beras dapat disalurkan secara terus kepada masyarakat yang sukar bergerak terutama golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Saya berharap agar bantuan ini dapat disalurkan secara terus kepada penerima yang sukar untuk bergerak keluar dengan menggunakan kerusi roda dan tongkat agar tiada masyarakat yang tercicir daripada memperoleh bantuan,” katanya. – WILAYAHKU – HAZIRAH HALIM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas