Berita

PERUPA lancar program bantu pelukis jalanan

BANTUAN set makanan kering yang disumbangkan oleh RumahPrihatin akan di agih-agihkan kepada ahli PERUPA yang terjejas sepanjang pandemik COVID-19.
- Diterbit 11 September 2021 1:00 AM MYT

PERSATUAN Seni Rupa Malaysia (PERUPA) menganjurkan program Payung Merah yang bertujuan mengumpulkan bantuan dan akan  disalurkan kepada pelukis jalanan yang terjejas akibat pandemik ini.

Naib Presidennya, Irwan Idris berkata, pihaknya telah melancarkan program Payung Merah bermula pada 15 Julai bertujuan untuk mengumpulkan sumbangan bentuk dana untuk membantu golongan pelukis yang terjejas akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) tahun lalu.

“Apabila PKP dilaksanakan, ramai pelukis yang tidak dapat meneruskan kerjaya harian mereka seperti biasa ekoran banyak jalan dan premis perniagaan terpaksa
ditutup. Kebanyakkan mereka adalah pelukis sepenuh masa dan menjadikan jalanan sebagai sumber pendapatan utama mereka untuk menyara kehidupan.

“Hasil daripada data yang telah dikumpulkan melalui google form, kami mendapati ramai pelukis yang telah hilang pendapatan, ada yang dihalau keluar oleh tuan rumah kerana tidak mampu untuk membayar sewa, tiada jualan dan banyak lagi. Oleh itu, kami terpanggil untuk menggerakkan program dan memohon bantuan kepada RumahPrihatin dan seterusnya menyalurkan kepada mereka.

“Sejak kami lancarkan program tersebut, setakat ini kami berjaya mengumpulkan kira-kira RM22,000 dan ia diagih-agihkan kepada ahli dan bukan ahli PERUPA yang memerlukan bantuan,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menjelas lanjut, Irwan berkata, program Payung Merah ini digerakkan bagi membantu ahli PERUPA yang berdaftar iaitu 328 orang dengan 172 merupakan ahli seumur hidup dan kami memfokuskan kepada empat konsul dalam pemberian bantuan.

‘‘Konsul pertama adalah untuk pelukis atau keluarga pelukis dan sumbangan yang diberikan adalah bantuan kewangan dan bekalan makanan harian secara one-off.

“Bagi Konsul kedua pula untuk pelukis veteran dan kami memberikan bantuan kewangan atau perubatan secara bulanan.

“Konsul ketiga melibatkan pelukis dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) atau yang mengalami kecederaan. Kami berikan bantuan perubatan secara one off dan
kami juga akan membantu membuat rundingan ke pusat zakat atau yayasan-yayasan tertentu.

“Dan bagi konsul keempat adalah dikhususkan kepada pelukis yang gelandangan dan kami akan membantu dari segi rundingan ke pusat perlindungan atau pihak berkuasa,” katanya sambil menambah proses agihan masih terus dijalankan mengikut data pemohonan lengkap berjumlah 237 pemohon dari pelukis-pelukis seluruh negara ahli dan bukan ahli PERUPA. – WILAYAHKU – HAZIRAH HALIM 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas