Berita

Larian Venus buka peluang peserta kenal Sains

- Diterbit 12 Julai 2019 1:24 AM MYT

PUTRAJAYA – Program larian Venus yang dianjurkan oleh Persatuan Astronautik Malaysia (AstroX) di Taman Wetland di sini baru-baru ini menjadi tumpuan ramai biarpun berlangsung dalam suasana hujan lebat.

Berjaya menarik 300 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, guru dan komuniti setempat, ternyata acara riadah sejauh lima kilometer itu memberi pengalaman baharu kepada pesertanya yang teruja apabila mereka berpeluang belajar tentang ilmu sains sambil berlari.

Menurut salah se­orang peserta yang dikenali sebagai Hafiz Irfan Hanizal, 13, kali pertama mendengar tentang larian tersebut, dia tidak teragak-agak untuk menyertainya kerana berasakan program tersebut sesuatu yang agak unik.

“Di sekolah saya memang seorang pelajar yang sukakan subjek Sains. Malah apa-apa yang melibatkan mata pelajaran tersebut cukup menarik perhatian apatah lagi ketika mendengar tentang program yang dianjurkan oleh bekas angkasawan ini.

“Selain berlari, saya juga turut berpeluang melihat rakan-rakan mencipta roket de­ngan kreativiti masing-masing menggunakan bahan-bahan seperti botol dan kertas. Ia satu pengalaman yang sangat menarik,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Pengarah Program, Kapten Faiz Kamaludin, larian tersebut direka untuk menyatupadukan pelajar dan golongan dewasa yang mana pada masa lalu hanya guru dan pelajar sekolah sahaja terlibat secara langsung dalam proses pendidikan ini.

“Kami telah mempromosikan pengetahuan sains kepada anak-anak sekolah di seluruh Malaysia selama lebih sepuluh tahun dan usaha kami memberi kesan.

“Selain daripada larian sebelum ini AstroX turut mengadakan bengkel sains, lawatan ke planetarium, lawatan ke pusat simulator penerbangan dan sabagainya,” ujar Faiz.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas