Berita

Khalid mahu DBKL tingkatkan penguatkuasaan

PENGUATKUASA DBKL
ANGGOTA penguat kuasa DBKL perlu ditambah bagi memastikan kelancaran trafik di Kuala Lumpur. Gambar hiasan ANGGOTA penguat kuasa DBKL perlu ditambah bagi memastikan kelancaran trafik di Kuala Lumpur. Gambar hiasan
- Diterbit 10 Januari 2020 3:52 AM MYT

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan kelancaran lalu lintas di ibu kota.

Beliau menyatakan, bagi mengelakkan kesesakan trafik di tengah bandar raya ini, pihak DBKL diminta untuk menambah bilangan anggota penguat kuasa bagi membolehkan tugas penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

‘’Memang ada tempat bas mereka parkir tepi jalan tetapi itu bas pelancong, ini persoalan penguatkuasa yang akan cuba ditangani. Saya sudah minta DBKL tambah penguat kuasa untuk tangani kesesakan lalu lintas.

‘’Kalau hendak serah kepada polis semata-mata ia beban terlalu besar sedangkan DBKL mendapat hasil daripada pembangunan, maka tidak salah untuk gajikan lebih ramai penguat kuasa untuk menjaga lalu lintas,’’ katanya dalam program Bicara Naratif terbitan TV1 baru-baru ini.

Terdahulu Khalid menjelaskan, bagi menangani masalah kesesakan trafik, kementeriannya telah meningkatkan kemudahan bas percuma Go KL bagi menggalakkan orang ramai menggunakan kenderaan awam.

‘’Pada tahun 2019 kita tambah lagi tiga laluan perkhidmatan first mile dari penempatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang bawa orang ramai ke stesen LRT, MRT dan stesen bas iaitu last mile supaya rakyat boleh guna dan dengan itu jumlah kenderaan atas jalan dapat dikurangkan.

“Kita akan tambah tiga lagi laluan first mile untuk memudahkan warga kota pergi ke pusat bandar,’’ katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas