ASEAN disaran wujudkan mekanisme tadbir urus data yang mantap

ASEAN disaran wujudkan mekanisme tadbir urus data yang mantap

ASEAN disaran mewujudkan mekanisme tadbir urus data yang mantap dan saling boleh kendali untuk membantu perniagaan boleh terus berkembang dan mengurangkan kos pematuhan meskipun berhadapan krisis pandemik.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon berkata sekarang masa yang sesuai kerana COVID-19 telah mempercepatkan penggunaan digital.

“Tadbir urus data menjadi lebih penting berikutan COVID-19. Menurut tinjauan baru-baru ini, lapan daripada sepuluh perniagaan di ASEAN menjangkakan pandemik COVID akan mengubah model perniagaan mereka ke versi digital.

“Ini bermaksud pemindahan data rentas sempadan dalam kalangan ASEAN akan menjadi lebih penting untuk menyokong ekonomi, aliran perdagangan dan perniagaan kita.

“Ia dapat membantu syarikat mengakses pasaran bersama dengan lebih mudah, mengintai peluang dan bekerjasama dalam pemulihan ekonomi tersebut,” kata Vanu Menon kepada Bernama  sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1).

Vanu Menon berkata Kerangka Kerja ASEAN mengenai Tadbir Urus Data Digital yang diterajui Singapura akan terus menyumbang dan membuka laluan lebih luas antara anggota ASEAN melalui inisiatif utama termasuk Kerangka Pengurusan Data ASEAN, dan Mekanisme Aliran Data Rentas Sempadan – Model Klausa Kontrak(MCC) dan Persijilan, yang akan dibentangkan pada mesyuarat ADGMIN1 untuk kelulusan.

“MCC penting untuk membantu memastikan data semua syarikat dilindungi merentasi sempadan dengan cara mudah untuk dimasukkan dalam kontrak mereka sebagai mekanisme pemindahan yang sah.

“Dari sudut lain, Program Pensijilan ini, dibangun dan ditujukan MCC kepada perniagaan dengan aliran data yang lebih besar dan lebih kompleks untuk disesuaikan dengan undang-undang perlindungan data ini.

“Pensijilan juga membolehkan saling operasi dengan mekanisme lebih besar seperti Peraturan Privasi Rentas Sempadan (CBPR) APEC,” tambahnya.

Vanu Menon berkata meningkatkan kerjasama keselamatan siber juga merupakan kunci bagi keselamatan ekonomi ASEAN dan inisiatif digitalisasi masa depan, terutamanya ketika peningkatan serangan dan ancaman keselamatan siber global dan rantaian bekalan baru-baru ini.

Mengenai ADGMIN1, Vanu Menon berkata Singapura menantikan pelancaran pelan induk digital baharu, Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM2025), yang diterajui Malaysia sebagai kunci utama yang dapat dicapai di bawah kepimpinan ADGMIN.

“Pelan induk baharu itu mencerminkan keperluan menyegerakan transformasi digital inklusif sehingga wilayah ini dapat muncul lebih berdaya tahan dan kuat berbanding pandemik.

“Pelan induk baharu menggabungkan iktibar daripada pandemik COVID-19, seperti perlunya kesediaan infrastruktur, penyambungan digital, standard saling operasi, kemudahan tersedia dalam talian, perkhidmatan digital, dan peningkatan literasi digital serta kemahiran rakyat.

“Kami menantikan pelancaran ADM2025 untuk mengemudi ASEAN ke arah visi itu dalam lima tahun akan datang dari 2021 hingga 2025,” tambahnya.

Selain itu, Vanon berkata ASEAN perlu terlebih dahulu mendekatkan jurang digital di setiap negara anggota.

“Kita mesti memastikan teknologi dan inovasi memberi manfaat kepada semua. Jurang digital perlu dipulihkan secara inklusif untuk mengelakkan perbezaan yang ketara,” ujarnya. – BERNAMA

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )