Berita

APMM selamat 18 pendatang tanpa izin mangsa bot karam

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 30 Mac 2024 5:35 PM MYT

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menyelamatkan 18 pendatang tanpa izin selepas bot yang mereka naiki karam di perairan barat Kuala Selangor, Khamis lepas.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata pada pagi 28 Mac lepas, pihaknya mendapat maklumat mengenai bot yang dinaiki sekumpulan pendatang tanpa izin karam dan mereka dikatakan berlindung di rumah api di kawasan perairan itu.

“APMM melalui Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah menerima aduan pada 9.55 pagi daripada seorang ahli keluarga mangsa melalui talian MERS 999 mengenai kejadian itu.

“Berdasarkan maklumat diterima, mangsa yang terdiri daripada 11 lelaki dan tujuh wanita dari negara jiran itu terselamat daripada nahas dan berada di rumah api sekitar perairan tersebut,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berpandukan maklumat itu, pihaknya telah mendapatkan bantuan Pasukan Polis Marin bagi menyelamat dan membawa mangsa ke jeti agensi berkenaan di Pulau Indah untuk tindakan lanjut.

Hamid berkata kesemua mangsa dipercayai cuba memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan sebelum bot dinaiki karam dan mereka terselamat selepas berjaya berenang ke rumah api itu.

Siasatan awal mendapati kesemua warga asing tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas