Berita

APMM patahkan cubaan seludup jamu, kosmetik RM300,000

ROSLI (tengah) menunjukkan antara barangan yang dirampas susulan penahanan sebuah bot barter trade di perairan 0.2 batu nautika Pelabuhan Barat Klang dalam sidang akhbar di Pelabuhan Klang hari ini.
- Diterbit 9 Mac 2020 6:44 AM MYT

PELABUHAN KLANG – Cubaan menyeludup masuk jamu dan barang kosmetik bernilai RM318,167 berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan 0.2 batu nautika Pelabuhan Barat Klang di sini kelmarin.

Kejayaan itu hasil operasi pada pukul 3.40 petang selepas mengesan sebuah bot sistem barter dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pemeriksaan mendapati barangan seludup itu disorok di bawah timbunanan barang makanan dan sayuran.

“Antara barangan dirampas termasuk jamu, minyak kayu putih, madu, losyen dan ubat gigi serta ‘magic’ tisu bernilai kira-kira RM318,167.

“Hasil pemeriksaan menunjukkan ia tidak diisytiharkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya dalam sidang akhbar di pejabat APMM Selangor di sini hari ini.

Mohammad Rosli memberitahu, APMM turut menyita bot terbabit yang bernilai RM300,000.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati bot terbabit dalam perjalanan dari Tanjung Balai, Indonesia ke Jeti Asa Niaga, Pelabuhan Klang.

“Kita juga telah mendapat perintah reman selama sembilan hari terhadap 10 warga Indonesia berusia 28 hingga 44 tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(A) Akta Kastam 1967, Peraturan 7 dan 18A Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Peraturan 130 Peraturan Makanan 1985,” katanya. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas