Berita

Atlet Malaysia ungguli Duatlon Labuan 2020

- Diterbit 9 Mac 2020 7:08 AM MYT

LABUAN – Atlet sukan ekstrem Malaysia menguasai acara Duatlon Labuan Kelima 2020 apabila berjaya menyapu johan empat daripada enam kategori yang dipertandingkan semalam.

Seorang anggota tentera berusia 32 tahun dari Miri, Sarawak dan pelari jarak jauh,  Mohd. Feldarus Abdul Rahman menjuarai Lelaki Terbuka Kumpulan A  dan rakan satu kem beliau, Mohd. Zuhar Ismail  menduduki tempat kedua manakala Mohd. Nor Risman Ismail dari Brunei di tempat ketiga.

Atlet ekstrem veteran Sabah yang juga Juara Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu 1994, Guianus Salagan pula menjuarai kategori Lelaki Veteran Kumpulan C manakala  Yamin Ali dan Yusof Tungkob kedua-duanya juga dari Sabah, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Duatlon merupakan sukan yang terdiri daripada larian diikuti acara berbasikal dan disudahi dengan satu lagi acara larian.

Seorang atlet triathlon berusia 40 tahun dari Gua Musang, Kelantan, Shahrom Abdullah pula memperoleh satu lagi  anugerah tahun ini apabila menjuarai Lelaki Veteran Junior Kumpulan D, atlet maraton Sabah dari Keningau, Jusery Gani di tempat kedua manakala  penyudah terbaik dari Sabah dalam Ironman Langkawi 2019, Yatim Zainal di tempat ketiga.

Acara Berganti-Ganti Campuran Kumpulan F turut dijuarai pelari dan pelumba basikal Malaysia, Marlin Hing William (pelari) dan Mohd. Ridzuan Janawati (pelumba basikal) diikuti di tempat kedua Madeliene See Li Chie (pelari) dan Jasni Mohd. Kassim (pelumba basikal) manakala tempat ketiga dimenangi pelari Malaysia, Elvina Jimin yang berpasangan dengan Yusuf Ngongoloy, pelumba basikal dari Indonesia.

Pelari maraton dari Kanada, Kathryn Deverlein menjuarai Wanita Terbuka Kumpulan B manakala Jessica Tang yang merupakan Juara Wanita Keseluruhan Duatlon Antarabangsa  Everly Putrajaya Trifactor 2019  pula ditempat kedua dan Natashya Soon di tempat ketiga. Kedua-duanya mewakili Malaysia.

Kategori Berganti-Ganti Lelaki, Kumpulan E dijuarai Ammouta Younes, pelari dari Maghribi dan pelumba basikal Brunei, Mazran Jamin, Safree Sabdin (pelari Malaysia) dan Johnie Ngongoloy (pelumba basikal Indonesia) di tempat kedua manakala Fabian Osmon (pelari Malaysia) dan Niklos Minol (pelumba basikal  Malaysia) di tempat ketiga.

Sejumlah 407 peserta dari lapan negara iaitu Malaysia, Brunei, Afrika Selatan, Kanada, Thailand, Indonesia dan Maghribi menyertai acara sukan tahunan di Labuan itu. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas