Berita

13 ahli MPKK letak jawatan sertai Bersatu

SUHAILI bersama Ahli MPKK yang meletakkan jawatan dan menyertai Bersatu semalam.
- Diterbit 9 Mac 2020 5:26 AM MYT

LABUAN – Seramai 13 daripada 27 ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mengumumkan peletakan jawatan dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam.

Pengerusi Bersatu Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, lima daripadanya adalah dari Parti Amanah Negara (Amanah), tiga dari Parti Warisan Sabah (Warisan) dan lima dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Mereka telah menyatakan kesediaan menyertai Bersatu dan meletakkan jawatan (MPKK) kerana lantikan mereka adalah lantikan politik.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menyertai parti ini dan menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri kelapan,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaili menyeru Pengerusi Perbadanan Labuan (PL) serta Pengerusi dan Ahli Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) meletak jawatan kerana mereka merupakan lantikan politik daripada kerajaan terdahulu.

Beliau memuji keputusan lima Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan yang diketuai Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli meletak jawatan dan menyifatkannya sebagai bertepatan dengan peralihan kuasa yang sedang berlaku dalam pentadbiran kerajaan pada masa ini.

Lima Ahli Majlis Penasihat PL itu mewakili parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas