Aplikasi PLUS bantu pengguna jalan raya rancang perjalanan

Aplikasi PLUS bantu pengguna jalan raya rancang perjalanan

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyediakan platform digital Aplikasi PLUS bagi membolehkan pengguna jalan raya merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini termasuk perkhidmatan bantuan PLUSRonda bagi mereka yang terkandas di lebuh raya.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata kira-kira 380,000 pengguna telah memuat turun aplikasi yang diperkenalkan pada 2014 itu, sekali gus menikmati pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan selesa di lebuh raya.

“Aplikasi ini membolehkan pengguna jalan raya melihat sendiri paparan kamera  litar tertutup (CCTV) keadaan trafik di lokasi-lokasi kritikal di lebuh raya.

“Bagi pengguna jalan raya yang terkandas atau mengalami masalah kerosakan kenderaan di lebuh raya, mereka boleh menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan bantuan pasukan PLUSRonda dengan menekan butang SOS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata sebaik sahaja butang SOS ditekan pada telefon bimbit, petugas PLUS dapat mengetahui kedudukan pengguna jalan raya di lebuh raya kendaliannya.

“Sejurus memperoleh maklumat daripada butang SOS, pegawai Pusat Kawalan Trafik PLUS akan menghubungi pengguna jalan raya itu secepat mungkin untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci tentang masalah yang dihadapi sebelum pasukan PLUSRonda diarahkan untuk ke lokasi dengan segera,” katanya.

Selain itu, katanya, aplikasi itu juga menyediakan kalkulator tol untuk memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat bayaran tol serta membuat prapesanan makanan di hentian rawat dan rehat (R&R) terpilih atau berinteraksi dengan PUTRI, ‘chatbot’ pertama industri lebuh raya untuk mendapatkan pelbagai maklumat tentang PLUS.

Aplikasi PLUS yang kali terakhir dinaik taraf pada Disember 2020 boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store bagi peranti android atau App Store untuk pengguna iPhone. – BERNAMA

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )