Berita

COVID-19: Kluster terbaru di Labuan bermula dari Institut Latihan Perindustrian

DR. ISMUNI BOHARI
- Diterbit 18 Januari 2021 10:28 AM MYT

KLUSTER COVID-19 terbaru di sini, Kluster Jalan Mohammed Salleh, berasal dari Institut Latihan Perindustrian pulau bebas cukai itu, yang melibatkan pelajar tempatan dan dari Sabah, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata kluster itu pada awalnya mempunyai 10 kes positif dan 15 lagi pelajar turut dalam senarai positif selepas diuji melalui saringan Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) dan sedang menunggu keputusan ujian ‘Polymerase Chain Reaction’ (PCR).

“Kluster baharu ini seperti yang diumumkan semalam melibatkan pelajar dari Sabah yang telah kembali ke sini untuk semester baharu dan beberapa pelajar Labuan yang merupakan kontak rapat pelajar lain yang disahkan positif COVID-19,” katanya kepada Bernama.

Dr Ismuni berkata seramai 423 pelajar telah menjalani ujian RTK-Antigen serta PCR dan ada yang masih menunggu keputusannya.

“Kami boleh mengawal penularan memandangkan kluster berkenaan berada di dalam kawasan institut latihan itu,” katanya.

Sementara itu, Dr Ismuni berkata Labuan masih mempunyai 105 kes aktif dengan enam daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), tiga memerlukan alat bantuan pernafasan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas