Selera

Apam Balik Warisan janji juadah tradisi rebutan ramai

GERAI Apam Balik Warisan di Medan Selera, Presint 9, Putrajaya
- Diterbit 26 Oktober 2019 1:52 PM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

SEBUT sahaja apam balik pasti kita teringat keenakan makanan tradisi berasaskan tepung yang dibakar dalam acuan khas serta dilapis dengan mentega. Ditabur pula dengan kacang tanah, gula dan jagung sudah pasti ia menjadi pilihan.

Terkenal dengan pelbagai nama penggilan seperti apom balik, terang bulan, murtabak manis, chin long pau dan sebagainya ternyata kuih tradisional ini tidak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

Seiring dengan perkembangan semasa, ia diberi suntikan moden dan dipelbagaikan dengan inti menarik seperti coklat, keju, oreo dan sebagainya mengikut cita rasa masing-masing terutamanya kanak-kanak.

APAM balik

Memandangkan ia terus menjadi perhatian ramai, maka tidak kurang juga ramai yang mengambil peluang untuk mengetengahkannya di pasaran. Antaranya yang tidak asing lagi, Apam Balik Warisan yang terletak di Medan Selera, Presint 9, Putrajaya.

Menurut pemiliknya, Nurul An Mohd. Naim, 34, dia mempertaruhkan resipi apam balik mentuanya untuk disajikan kepada para pelanggan yang datang ke warungnya.

“Lebih 10 tahun saya meniaga di sini, yang pasti dari awal sehingga ke hari ini saya tetap mengekalkan resipi tersebut dari segi sukatan tepung, gula dan sebagainya. Bagi saya, itu perkara paling penting untuk
mengekalkan rasanya yang tersendiri.

“Cuma jika ada perubahan, saya perlu menuruti permintaan pelanggan yang menginginkan pelbagai perasa tambahan seperti kacang merah dan sebagainya,” ujar anak kelahiran Muar, Johor ini.

Mampu menghasilkan lebih 800 keping apam balik dalam masa sehari, pelanggan Apam Balik Warisan boleh mendapatkan apam balik panas nipis yang enak dengan serendah harga 70 sen sekeping sahaja.

“Harga yang ditawarkan amat berpatutan dan jika diikutkan kuih ini begitu laris sekali ketika waktu tengah hari dan menjelang petang,” ujarnya.

Pelanggan boleh mendapatkan apam balik biasa dengan harga RM3.50 sekeping, RM4.00 bagi apam balik istimewa, RM5.00 bagi istimewa jumbo dan RM6.00 sekeping untuk yang menginginkan perisa tambahan.

GERAI Apam Balik Warisan di Medan Selera, Presint 9, Putrajaya.APAM Balik Warisan menjadi kegemaran ramai kerana keenakannya.

Katanya lagi, bagi memudahkan pelanggan, kini Apam Balik Warisan boleh dipesan melalui atas talian dengan adanya aplikasi Food Panda.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas