Advertorial

Program Jalinan Digital Negara: 2,000 pengguna Kg Ayer Hitam terima manfaat

FAIZAL (tengah) bersama wakil Edotco, CelcomDigi dan MCMC ketika lawatan rasmi di Tapak JENDELA Fasa 1 di Kampung Ayer Hitam, Negeri Sembilan baru-baru ini
- Diterbit 22 Disember 2023 4:00 PM MYT

KIRA-KIRA 2,000 penduduk di kawasan Kampung Ayer Hitam, Negeri Sembilan menerima liputan Internet di bawah Program Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Faizal Ramli berkata JENDELA merupakan inisiatif kerajaan dalam menyalurkan penggunaan Internet kepada suluruh rakyat Malaysia di kawasan luar bandar termasuk perkampungan Orang Asli.

“Di Negeri Sembilan kita mensasarkan 27 menara baharu di mana sehingga kini sebanyak lima menara telah pun siap dan beroperasi.

“Salah satunya adalah di Kampung Ayer Hitam ini yang mula beroperasi pada 2 November lalu dengan kerjasama Edotco Group Sdn Bhd.

“Di sini, kita mampu mencapai empat rangkaian iaitu CelcomDigi, Maxis dan U-Mobile di mana radius liputan adalah sejauh dua kilometer,” katanya kepada Wilayahku selepas lawatan Tapak JENDELA Fasa 1 di Kampung Ayer Hitam, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Berkongsi kejayaan JENDELA di Negeri Sembilan itu, Faizal berkata sehingga kini ia sudah mencapai 98 peratus (%) bagi liputan 4G dan kini dalam proses untuk menaik taraf rangkaian berkenaan ke liputan 5G.

“Sehingga kini liputan telah dibuat seluas lebih 70% di seluruh Negeri Sembilan merangkumi kawasan di luar bandar serta berpenduduk tinggi termasuk beberapa perkampungan Orang Asli yang terdapat di negeri ini.

“Untuk perkampungan Orang Asli, kita dah pasang di Mampas dan Langkap. Dengan pemasangan tersebut, ia menunjukkan kesungguhan kerajaan dan MCMC dalam menjayakan inisiatif ini sekali gus bukan penduduk di bandar sahaja yang diberikan tumpuan malah di pedalaman juga,” ujarnya.

Melihat kepada keberkesanan pemasangan JENDELA terhadap komuniti khususnya, Faizal berkata inisiatif tersebut akan ditambah baik pada masa akan datang.

“Dalam tempoh sehingga tahun 2025, kita akan pastikan keseluruhan kawasan-kawasan luar bandar terutamanya akan mendapat akses Internet secara lebih meluas.

“Kita juga mengambil berat terhadap setiap aduan yang disampaikan sama ada daripada penduduk setempat, orang awam mahupun Ahli Dewan Undangan (ADUN) di kawasan tersebut. Selepas aduan diterima, beberapa petugas akan ke lokasi berkenaan bagi melakukan pemantauan,” katanya.

Pentingnya Internet

Dalam pada itu, Faizal berkata dunia pemodenan masa kini sememangnya bergantung kepada penggunaan Internet kerana ia meliputi setiap aspek kehidupan baik yang bekerja mahupun pelajar.

“Kita dapat lihat betapa pentingnya liputan Internet terutama semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, semua orang memerlukan capaian yang bagus untuk melakukan kerja, mengadakan mesyuarat secara dalam talian, perniagaan dan banyak lagi termasuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

“Kebiasaannya mereka yang sering ketinggalan adalah penduduk di luar bandar serta anak Orang Asli sekali gus ia sedikit sebanyak akan menjejaskan pelajar sedangkan mereka inilah yang merupakan bakal pemimpin generasi akan datang.

“Boleh dikatakan penggunaan Internet amat penting, pihak kementerian atau sekolah juga telah mula menggunakan Internet dalam proses sesi pembelajaran kepada anak-anak,” katanya.

Dalam pada itu, Faizal turut berterima kasih kepada pihak MCMC khususnya serta kerajaan negeri dan juga pihak kontraktor, Edotco yang turut memainkan peranan bersama dalam memastikan hasrat kerajaan tercapai.
“Kita juga perlu mendapatkan kerjasama daripada semua pihak terutamanya dalam proses membina menara antaranya dari segi kelulusan, pemilihan tapak dan sebagainya.

“Kerjasama daripada masyarakat setempat juga penting kerana apabila siap kesemua menara di kawasan mereka, diharapkan tidak berlaku vandalisme atau kecurian,” ujarnya yang mengharapkan setiap individu untuk bersama-sana menjaga aset yang dibina kerajaan untuk kemudahan orang ramai.

Terdahulu, EXCO Kerajaan Negeri Sembilan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan MCMC Negeri Sembilan turut mengadakan Program Lawatan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Si Rusa baru-baru ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas