Berita

Anti minyak sawit: Malaysia fail tindakan undang-undang ke atas EU

- Diterbit 1 Julai 2020 12:34 PM MYT

KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan tindakan undang-undang ke atas Kesatuan Eropah (EU) melalui Mekanisme Penyelasaian Pertikaian atau Dispute Settlement Mechanism (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan undang-undang itu dilaksanakan berdasarkan asas dan justifikasi serta selaras dengan prinsip amalan perdagangan yang telah digariskan WTO.

Jelas beliau, polisi yang dilaksanakan EU dalam Delegation Regulation atau peraturan pelengkap di bawah European Union Renewable Energy Directive II (EU RED II) telah mewujudkan sekatan yang tidak sewajarnya ke atas usaha kemampanan dan kelestarian yang telah dan sedang dilaksanakan Malaysia termasuk menyekat amalan perdagangan bebas.

“Tindakan diskriminasi EU ini akan menyebabkan lebih 3 juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam rantaian industri sawit negara menerima impak negatif termasuk lebih setengah juta pekebun kecil sawit.

“Berdasarkan Delegated Regulation, minyak sawit dikategorikan sebagai mempunyai kadar ILUC (Perubahan Kegunaan Tanah Secara Tidak Langsung) yang tinggi.

“Oleh itu, jumlah eksport minyak sawit negara ke EU dijangka akan terkesan memandangkan biobahan api dengan kadar ILUC yang tinggi tidak diambil kira dalam pengiraan sasaran tenaga boleh diperbaharui (renewable energy target),” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Khairuddin, Delegated Regulation di bawah EU RED II dilihat mempunyai kekurangan dari segi ketelusan, kredibiliti saintifik dan kebanyakan andaian yang dibuat memberikan gambaran tidak tepat terhadap amalan kemampanan dan kelestarian yang diamalkan dalam industri sawit negara.

Ujar beliau, ia juga dilihat berat sebelah apabila hanya minyak sawit dikategorikan sebagai mempunyai kadar risiko ILUC yang tinggi dalam kalangan minyak sayuran bagi sumber biobahan api.

“Malaysia juga akan terlibat sebagai pihak ketiga dalam pemfailan kes yang dibuat Indonesia. Penglibatan Malaysia ini adalah sebagai tanda sokongan dan solidariti serta komitmen Malaysia sebagai negara pengeluar sawit untuk bersama Indonesia dalam menangani isu kempen anti-minyak sawit.

“Malaysia akan terus komited dalam mempertahankan kepentingan industri sawit negara yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara,” tegasnya.

Pada Disember 2018, EU telah meluluskan EU RED II dan lanjutan daripada itu, pada Mac tahun lalu Delegated Regulation di bawah EU RED II diluluskan.

Delegated Regulation antara lain menerangkan mengenai kriteria atau metodologi bagi menentukan sama ada sumber dalam pengeluaran biobahan api menyebabkan kadar ILUC yang tinggi atau rendah dan kesannya kepada pelepasan gas rumah hijau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas