Artikel

Bermesra dengan alam Putrajaya

TANGGA Putrajaya yang berketinggian 30 meter dengan jarak pendakian 200 meter merupakan antara lokasi wajib dikunjungi
- Diterbit 3 Februari 2024 8:55 AM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

PUTRAJAYA adalah salah satu destinasi ekopelancongan terutama untuk mereka yang memilih ruang memesrai alam sekitar, taman-taman luas dan landskap yang menenangkan jiwa. Masa yang sama membawa pengunjung dekat dengan alam, berjarak seketika daripada udara tercemar kota metropolitan.

Maknanya kita tidak perlu pergi jauh ke luar kota untuk menikmati dingin tenang alam yang terpelihara habitat asalnya. Dengan jarak sekitar 40 kilometer dari pusat bandar raya Kuala Lumpur, pengunjung boleh menikmati alam yang tenang dan udaranya nyaman seperti di pergunungan.

Putrajaya dikenali oleh sang pelancong luar sebagai pusat pentadbiran Persekutuan yang paling terancang tidak sahaja prasarana malah menekankan konsep bandar dalam taman. Hal itu menjadikan Putrajaya bukan sahaja unik tetapi menepati keperluan sebagai petempatan.

Lebih kurang dua dekad dulu, sebelum kita melangkah ke alaf baharu, Kuala Lumpur adalah pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan. Semua kementerian berpusat di Kuala Lumpur. Dengan itu juga menjadi pusat perdagangan dan ekonomi.

Kini hampir semua pejabat pentadbiran Persekutuan sudah beroperasi di Putrajaya. Kuala Lumpur lebih tertumpu sebagai pusat perdagangan dan ekonomi. Pejabat konglomerat dalam dan luar negara ada di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur adalah bandar raya yang berkembang secara semula jadi bermula era perlombongan bijih dulu, sementara Putrajaya adalah bandar yang dibangunkan daripada kawasan estet Prang Besar dalam negeri Selangor.

Sekalipun Putrajaya masih muda, baru berusia lingkungan 25 tahun, pembangunan terancang itu menjadikan ia bukan sahaja pusat pentadbiran, malah sebuah taman yang besar. Hal itu menjulang nilai alam yang tinggi sekali gus berpotensi melonjakkan sektor pelancongan.

Bagi pelancong luar negara, bersiar-siar melalui pusingan (roundabout) terbesar mengelilingi sebuah bukit di tengah-tengah Putrajaya, memberikan suatu yang sangat mempesona. Itu adalah peluang menikmati keindahan landskap, seni bina dan seni taman yang unik.

Putrajaya yang bermula dengan pembinaan Pejabat Perdana Menteri pada 10 Mei 1995 itu mula beroperasi pada 16 April 1999. Pejabat Perdana Menteri menjadi perintis pejabat pentadbiran Persekutuan di Putrajaya.

Sekalipun lebih dikenali sebagai pusat pentadbiran, masa yang sama Putrajaya juga menyediakan prasarana sosial dan komersial kepada penghuni dan pengunjung. Malah menjadi sebuah petempatan baharu yang selesa terutama dalam kalangan penjawat awam. Terdapat banyak kuarters kediaman bertujuan meringankan beban penjawat awam yang belum mempunyai kediaman.

Berlama-lama di sekitar Putrajaya terutama waktu petang hingga pangkal senja adalah pengalaman rohani yang sangat mempesona. Gabungan tanah dan air dengan luasnya Tasik Putrajaya membuatkan kita seolah-olah berada di tepi pantai. Landskap taman yang mendominasi pusat pentadbiran baharu itu adalah manifestasi hubungan akrab antara manusia dengan alam.

Bangunan bangunan di Putrajaya pula misalnya sebahagian besar terilham daripada khazanah seni bina Asia Barat yang dipergayakan dengan ciri-ciri tempatan. Hal itu menunjukkan Putrajaya tidak sekadar tempat bekerja penjawat awam Persekutuan, malah dibangunkan untuk keselesaan pelawat.

Ringkasnya hampir tidak ada ‘bangunan kotak’ di Putrajaya. Semuanya ada nilai seni bina yang unik – bersulam seli antara gaya moden, minimalis dan semi klasik. Malah di jambatan juga tidak terkecuali, tidak sekadar menjadi penghubung akan seni binanya memancar nilai yang artistik.

Melancong ke Putrajaya bagi sesetengah dalam kalangan orang tempatan khususnya di Lembah Kelang adalah suatu yang agak asing. Keunikan sebagai destinasi pelancongan belum terapung dan meluas dalam kalangan orang tempatan.

LUNAK AZAN

Sebagai bandar dalam taman keindahan dan keunikan Putrajaya semestinya diterokai dan dihayati. Putrajaya terbina daripada gagasan pelestarian alam sekitar. Maka tidak hairanlah kalau pokok dan bunga ada di mana-mana.

Putrajaya tidak hanya memiliki mercu tanda utama Masjid Putra dan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin. Memang benar, kedua-dua ikon itu menjadi sebutan hingga ke luar negara. Malah pengunjung tempatan juga lebih mengenali kedua-dua masjid yang mengisi lima waktu dengan lunak nyaring laungan azan.

Hakikatnya Putrajaya mempunyai tidak kurang 10 taman awam dan tempat menarik yang terbina dengan kesedaran terhadap pelestarian alam sekitar yang tinggi. Tempat-tempat itu menawarkan peluang menikmat ekopelancongan dan pengalaman bermesra dengan alam.

Antara tempat yang menjadi tarikan pelancong adalah Taman Wetland Putrajaya iaitu kawasan tanah lembap air tawar terbesar buatan manusia di kawasan tropika. Malah merupakan tapak hidrologi yang diiktiraf oleh UNESCO.

Selain berperanan sebagai sistem pemprosesan air semula jadi, Taman Wetland Putrajaya juga merupakan tempat perlindungan hidupan liar serta menjadi destinasi utama burung migrasi dari Hemisfera Utara. Kalau kena pada musimnya, pengunjung boleh melihat berbagai-bagai burung migrasi yang tidak terdapat di negara ini.

Keindahan seperti itu tidak ada pada semua tempat dan negara yang lain. Burung migrasi mempunyai kriteria tertentu untuk menjadikan Taman Wetland Putrajaya sebagai perhentian. Tempat lain yang popular dengan burung migrasi adalah Kuala Gula di Perak.

Selain taman tanah lembab yang popular itu, Putrajaya juga menawarkan pelbagai aktiviti antaranya Wetland Studios Putrajaya, sebuah taman didik hiburan digital yang sesuai untuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Wetland Studios Putrajaya yang baru beroperasi tujuh bulan lalu sudah mencatatkan sebanyak 170,000 pengunjung. Dianggarkan jumlah pengunjung boleh meningkat hingga 300,000 orang menjelang setahun taman itu beroperasi.

Mereka yang gemar kegiatan luar seperti berkhemah, Glow Glamping@Wetland adalah destinasi yang terbaik. Banyak tapak perkhemahan yang tersedia dengan kemudahan seperti tandas dan bilik mandi.

Sebenarnya banyak lagi tempat-tempat menarik di Putrajaya yang perlu dikunjungi. Semuanya memberikan pengalaman yang menarik dan yang penting ada hubungan dengan alam sekitar. Misalnya Astana Morocco sebuah binaan yang bercirikan seni bina Morocco menjadi tempat bergambar yang popular di Putrajaya.
Tidak ketinggalan juga Tangga Putrajaya (Putrajaya Steps) yang letaknya tidak jauh dengan bangunan Pejabat Perdana Menteri. Selain berpeluang mendaki lebih 180 anak tangga, di puncaknya terhampar Taman Putra Perdana, taman yang penuh dengan bunga-bungaan dan pokok yang indah.

Putrajaya juga ada ‘­pantai.’ Pantai Floria menjadi destinasi berkelah pada hujung minggu dalam kalangan warga setempat dan pelancong dalam serta luar negara. Pantai buatan itu dengan angin bertiup kencang. Ia menghidupkan suasana seperti di tepi pantai. Lebih mempesona apabila mentari jingga hampir kembali ke peraduannya.

Ternyata Putrajaya adalah sebuah destinasi pelancongan yang memberi peluang kepada pengunjung menikmati alam yang terpelihara keasliannya. Melancong atau ‘melarikan’ diri seketika ke Putrajaya bukan sahaja menjimatkan belanja, tetapi masa yang sama membawa kita kembali mendekati dan menikmati hadiah keindahan daripada alam.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas